KUALA LUMPUR 28 Mei — D&O Green Technologies Berhad dikhuatiri terus berdepan kerugian sekurang-kurangnya 15 bulan akan datang susulan isu lambakan inventori lama, menurut penganalisis.
Mereka berpandangan situasi diburukkan lagi berikutan permintaan lemah sektor automotif di China terutama kenderaan elektrik (EV) serta margin keuntungan kumpulan itu yang terus semakin mengecil.
Dua firma penyelidikan dalam analisis masing-masing turut bertindak menurunkan unjuran keuntungan kumpulan tersebut selepas keputusan kewangan 1QFY26 jauh lebih lemah daripada jangkaan pasaran.
PublicInvest mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 48 sen berbanding 54 sen sebelum ini, manakala Phillip Capital tidak mengubah syor 'pegang' dan TP 41 sen daripada 43 sen.
"D&O merekodkan kerugian bersih teras RM18.8 juta bagi 1QFY26 selepas diambil kira kerugian pertukaran wang asing (forex), rosot nilai inventori dan pampasan pelanggan," kata PublicInvest.
Firma itu berkata, prestasi lemah tersebut berpunca daripada permintaan lebih perlahan bagi LED automotif di China selain kesan negatif pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Tambahnya, hasil kumpulan susut 6.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM217.8 juta akibat jualan lebih rendah di Asia, khususnya China yang terkesan oleh kelembapan jualan EV dan kenderaan tradisional.
Menurutnya, penamatan insentif EV di China dan kenaikan harga minyak akibat ketegangan geopolitik turut meningkatkan kos pengeluaran dan pemilikan kenderaan sekali gus menjejaskan permintaan.

"Phillip Capital pula berpandangan, margin perolehan kasar D&O merosot ketara kepada hanya 2.5% berbanding 12.5% sebelumnya akibat leveraj operasi yang lebih lemah," jelas firma tersebut.
Tambahnya, caj rosot nilai inventori kumpulan berkenaan terus membebankan lagi keputusan kewangan syarikat kerana sebahagian daripada inventori lama masih dibawa pada kos asal sehingga tiga tahun.
Justeru katanya, kumpulan kini beralih kepada pendekatan peruntukan inventori lebih progresif, namun keuntungan dijangka masih lemah dalam tempoh terdekat sementara inventori lama dibersihkan.
Dalam perkembangan lain, PublicInvest berkata, D&O ketika ini sedang berusaha melupuskan pelbagai stok 'salvage' yang dianggarkan bernilai RM144 juta di bawah polisi rosot nilai inventori baharu.
"Sekiranya langkah berkenaan gagal, syarikat tersebut berpotensi untuk terus merekodkan rosot nilai inventori bagi tempoh beberapa tahun yang akan datang," kata firma penyelidikan itu lagi.
Pada masa sama ujarnya, kadar penggunaan kapasiti kilang kumpulan berkenaan dicatatkan hanya sekitar 66% pada suku semasa, sekali gus mencerminkan situasi permintaan yang masih lagi lemah.
Bagaimanapun, kedua-dua firma tersebut melihat beberapa petunjuk pemulihan mula muncul pada separuh kedua FY26, susulan tempahan pelanggan dari China secara beransur-ansur sejak April 2026.
Di samping itu, langkah pendigitalan dan pengoptimuman kos dijangka memberi kesan positif, serta kenaikan purata harga jualan (ASP) produk LED sebanyak 12.5% bagi mengimbangi kos bahan mentah.
"Selain itu, perniagaan modul D&O dijangka menghampiri titik pulang modal menjelang akhir tahun selepas menerima banyak tempahan daripada Beijing Jingwei Hirain Technologies," katanya.
Sehubungan itu, Phillip Capital menjangkakan pemulihan beransur-ansur pada separuh kedua FY26 apabila inventori lama semakin berkurangan dan leveraj operasi kembali bertambah baik.
Bagaimanapun, firma berkenaan percaya pelabur mungkin kekal berhati-hati sehingga terdapat bukti lebih jelas mengenai pemulihan keuntungan syarikat tersebut. - DagangNews.com








