DNeX, MARA jalin kerjasama pacu transformasi digital berasaskan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX, MARA jalin kerjasama pacu transformasi digital berasaskan AI

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) memeterai kerjasama strategik dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memacu transformasi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam organisasi berkenaan.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang menetapkan rangka kerja kolaborasi bagi pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi, termasuk pembangunan bakat, pemerkasaan keusahawanan digital serta pembangunan platform digital generasi baharu untuk MARA.

 

Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalaman melalui pemerkasaan inovasi dan penggunaan teknologi AI terkini bagi memastikan tenaga kerja MARA kekal relevan serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT, Marlishiraz Ramli berkata usaha itu termasuk pembangunan rangka kerja peningkatan kemahiran AI bagi membudayakan pendekatan ‘AI-first’ dalam kalangan usahawan MARA. 

 

“Melalui integrasi perkhidmatan pembangunan keupayaan dengan platform digital termaju, program berkenaan dijangka membantu usahawan memanfaatkan AI sebagai kelebihan daya saing utama.

 

“Selain itu, DNeX dan MARA turut merancang membangunkan sebuah Unified Data Intelligence Hub iaitu ekosistem digital berpusat yang berasaskan AI bagi menyatukan aset data MARA. 

 

“Platform bersepadu itu dijangka meningkatkan kebolehcapaian data, penyelarasan antara bahagian serta kecekapan operasi secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t
Marlishiraz Ramli

 

Tambahnya, kerjasama strategik itu merupakan satu pencapaian penting bagi DNeX bagi memperluaskan peranannya dalam pembangunan bakat nasional dan pertumbuhan keusahawanan digital.

 

“Kolaborasi tersebut turut mengukuhkan kedudukan strategik DNeX melalui akses kepada segmen pasaran baharu menerusi program bersama yang menyokong syarikat pemula dan ekosistem inovasi negara,” katanya.

 

DNeX merupakan syarikat teknologi global yang beroperasi dalam tiga bahagian perniagaan utama iaitu semikonduktor, tenaga dan teknologi maklumat. - DagangNews.com