DNB, Meta bekerjasama tubuhkan makmal inovasi di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNB, Meta bekerjasama tubuhkan makmal inovasi di Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Mac — Digital Nasional Berhad (DNB) dan Meta mengumumkan untuk berusaha ke arah mewujudkan kerjasama strategik dengan menubuhkan makmal inovasi secara bersama di Malaysia serta memanfaatkan kuasa sambungan telekomunikasi 5G.
 

Selaku pengendali rangkaian teknologi 5G Malaysia, DNB berkata, inisiatif itu bakal meningkatkan ketersambungan suara dan video dengan ketara pada platform Meta yang merupakan firma teknologi global serta menguruskan Facebook, Instagram dan WhatsApp .
 

Kedua-dua pihak sedang memuktamadkan syarat kerjasama yang dicadangkan dengan makmal itu menumpukan kepada pemacuan kemajuan untuk meningkatkan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi masa nyata media sosial dan platform pemesejan Meta.
 

"Kerjasama ini menekankan keperluan kritikal untuk menyampaikan sambungan suara dan video yang lancar serta berkualiti tinggi kepada pengguna selain memastikan mereka mendapat pengalaman yang terbaik," kata DNB dalam kenyataan di sini.
 

Pengumuman mengenai kerjasama bersejarah tersebut dimaklumkan kedua-dua pihak di Pavilion Malaysia semasa acara berprestij, World Mobile Congress 2025 di Barcelona, Sepanyol yang turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
 

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, makmal inovasi bersama bertujuan untuk mengoptimumkan prestasi rangkaian dan membangunkan teknologi termaju untuk meningkatkan kualiti pengalaman masa sebenar.
 

Ia turut diharapkan mampu membangunkan penyelesaian inovatif untuk mengoptimumkan lagi kualiti pengalaman pengguna serta meningkatkan teknik pengoptimuman rangkaian untuk mengurangkan kependaman dan menambahkan kadar bit untuk komunikasi yang lebih lancar.
 

"Hasil makmal ini bakal meningkatkan pengalaman keseluruhan untuk pelanggan rangkaian DNB 5G melalui kejelasan dan kebolehpercayaan panggilan yang lebih baik malah pihak DNB sendiri begitu teruja untuk bekerjasama dengan Meta," jelas kenyataan tersebut.
 

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi DNB, Ken Tan menyatakan semangatnya untuk kerjasama yang dicadangkan kerana ia boleh memacu inovasi dan menyampaikan kualiti perkhidmatan yang tiada tandingan kepada pelanggan pengendali rangkaian mudah alihnya.
 

Kerjasama ini juga ujar beliau, mampu untuk mengukuhkan komitmen pihak DNB terhadap kecemerlangan rangkaian dan inovasi berterusan yang mengutamakan pelanggan dengan memupuk persekitaran komunikasi yang lebih berhubung dan cekap.
 

Naib Presiden Kejuruteraan Rangkaian di Meta, Vinod S pula yakin kerjasama yang dicadangkan dengan DNB menunjukkan cara firma itu meningkatkan pengalaman pengguna an mereka komited untuk memacu inovasi dalam rangkaian mudah alih.
 

"Kami berharap untuk meneruskan kerja dengan ekosistem ketersambungan di Malaysia malah inisiatif ini adalah bukti dedikasi kami untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi masa nyata di platform kami,” katanya dalam kenyataan itu. - DagangNews.com