KUALA LUMPUR 13 Mac - Digital Nasional Bhd (DNB), bersama Ericsson memperkenalkan kemampuan baharu dalam sistem pengurusan rangkaian 5G mereka untuk mengesan pemancar haram yang digunakan bagi menghantar mesej scammer atau penipuan.
Diperkenalkan pada Kongres Dunia Mudah Alih 2026 (Mobile World Congress) di Barcelona, inisiatif ini menandakan percubaan pertama di dunia bagi Rangkaian Akses Radio (RAN) dan penambahbaikan pengurusan rangkaian yang direka untuk mengenal pasti stesen pangkalan palsu dalam rangkaian 5G komersial.
Dilaksanakan di seluruh rangkaian 5G nasional DNB dan dikuasakan oleh perisian rangkaian Ericsson bersama platform keselamatan siber Ericsson Security Manager, teknologi ini memperkukuh usaha kerajaan dalam sektor telekomunikasi bagi menangani peningkatan ancaman penipuan.
Laporan GSMA Asean Consumer Scam 2025 menunjukkan 45 peratus pengguna di rantau ini menjadi mangsa penipuan, meningkat daripada 31 peratus pada tahun sebelumnya.
Antara 2022 hingga 1 Ogos 2025, pihak berkuasa Malaysia yang diketuai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat telekomunikasi telah menyekat lebih 2.1 bilion panggilan scammer dan mesej SMS penipuan.
Sistem baharu DNB menyediakan lapisan perlindungan tambahan untuk rakyat Malaysia daripada scammer yang menggunakan pemancar haram bagi menyamar sebagai stesen pangkalan mudah alih sah dan menghantar mesej yang kelihatan asli mengandungi pautan berniat jahat untuk mencuri maklumat peribadi atau kewangan.
Teknologi ini menawarkan penglihatan rangkaian yang lebih baik dan analitik lanjutan untuk mengenal pasti serta mengekang aktiviti mencurigakan tanpa memerlukan pengesanan manual sumber penghantaran.
Pengukuhan keselamatan rangkaian 5G nasional
DNB berkata ia secara signifikan memperkukuh pertahanan rangkaian mudah alih Malaysia terhadap ancaman berkaitan penipuan.
Dilaksanakan pada infrastruktur 5G nasional DNB yang selamat, kemampuan ini membolehkan penyedia rangkaian borong dengan pantas melindungi privasi pengguna, mengukuhkan keyakinan awam terhadap komunikasi mudah alih tanpa kos tambahan kepada pengendali rangkaian, dan menegaskan komitmen berterusan DNB untuk meningkatkan kualiti, ketahanan, dan keselamatan rangkaian 5G Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail, berkata keutamaan utama syarikat sentiasa untuk menyediakan rangkaian 5G nasional yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia.
“Inovasi ini memperkukuh perlindungan pengguna dengan mengesan stesen pangkalan palsu dari jauh, membantu mencegah penipuan dan menjaga privasi.
“Ia menandakan satu lagi pencapaian penting dalam membina ekosistem 5G yang lebih selamat dan pintar serta mencerminkan komitmen DNB untuk terus meningkatkan kualiti, ketahanan dan keselamatan rangkaian kami bagi pelanggan di seluruh negara tanpa kos tambahan,” katanya dalam satu kenyataan.
David Hägerbro, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka, dan Bangladesh, berkata keselamatan telah menjadi tonggak utama dalam perjalanan 5G Malaysia.
“Penambahbaikan keselamatan bersama DNB ini menunjukkan bagaimana kecerdasan rangkaian maju dapat melindungi pengguna tanpa memerlukan perkakasan tambahan atau usaha manual.
"Ia mencerminkan kemajuan perjalanan digital Malaysia, di mana prestasi, kelestarian, dan keselamatan berjalan seiring,” tambahnya. - DagangNews.com








