DKSH, United Beverage bekerjasama tingkatkan pengedaran minuman Sun Up & 7 Rings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DKSH, United Beverage bekerjasama tingkatkan pengedaran minuman Sun Up & 7 Rings

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – DKSH Holdings (Malaysia) Berhad menjalin kerjasama strategik dengan United Beverage Sdn. Bhd bagi meningkatkan pengedaran produk minuman di seluruh Malaysia. 

 

Langkah ini bertujuan untuk memenuhi permintaan pengguna terhadap minuman berkualiti dan berperisa termasuk jus, kordial dan minuman sedia diminum.

 

DKSH dalam satu kenyataan berkata, ia akan menggunakan kepakaran tempatan dan rangkaian pengedaran mereka untuk memastikan produk United Beverage dapat diakses lebih meluas di seluruh Malaysia.

 

“Di Malaysia Timur, DKSH akan menyediakan perkhidmatan pasaran secara penuh termasuk pelaksanaan jualan, pemasaran di lapangan, pengedaran dan logistik, serta pengurusan kredit dan kutipan bayaran. Langkah ini dijangka memperkukuh kehadiran United Beverage di pasaran tersebut.

 

“Sementara itu, di Malaysia Barat, DKSH akan memberi sokongan melalui aktiviti promosi dan pemasaran di premis perniagaan terpilih bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan jenama tersebut,” katanya.

 

Jenama Sun Up dan 7 Rings, yang merangkumi jus pekat, kordial berperisa, sirap, dan minuman sedia diminum, menjadi fokus utama kerjasama ini. Produk-produk ini dihasilkan dengan kualiti tinggi untuk memberikan rasa yang konsisten kepada pengguna.

 

Dengan rangkaian pengedaran DKSH yang meluas, produk United Beverage dijangka dapat dicapai oleh lebih ramai pengguna di pelbagai lokasi runcit utama di seluruh negara.

 

Ini sekaligus meningkatkan peluang pertumbuhan jenama tempatan dalam pasaran domestik.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan United Beverage Sdn. Bhd  Terence Kuah berkata kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan syarikat. 

 

“Dengan sokongan DKSH, Sun Up dan 7 Rings dapat diperluaskan jangkauan di Malaysia Timur dan pada masa sama mengekalkan kekuatan di Malaysia Barat.

 

“Strategi ini akan membolehkan lebih ramai pengguna yang menghargai kualiti dan rasa minuman menikmati produk kami di pasaran tempatan,” katanya.

 

Naib Presiden Barangan Pengguna (FMCG) DKSH Malaysia, Daniel Schwalb pula berkata kerjasama dengan United Beverage memberikan peluang untuk mempercepatkan pertumbuhan produk di seluruh negara.

 

“Kekuatan United Beverage dalam pengeluaran minuman berkualiti selaras dengan kepakaran DKSH dalam pengembangan pasaran dan pengedaran, termasuk aktiviti promosi dan pemasaran di lokasi terpilih,” katanya. - DagangNews.com