DKSH, Sanofi bekerjasama perluaskan akses kesihatan untuk pesakit di Malaysia, Singapura dan Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DKSH, Sanofi bekerjasama perluaskan akses kesihatan untuk pesakit di Malaysia, Singapura dan Thailand

Kerjasama DKSH dan Sanofi bertujuan meningkatkan akses rawatan penyakit kronik di rantau ASEAN
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 April – DKSH menjalin kerjasama strategik dengan Sanofi bagi memperluaskan akses rawatan penyakit kardiovaskular dan diabetes di Malaysia, Singapura serta Thailand.

 

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi Unit Perniagaan Penjagaan Kesihatan DKSH yang berperanan sebagai rakan perniagaan kesihatan serta penyedia perkhidmatan perluasan pasaran merangkumi farmaseutikal, ubat tanpa preskripsi, kesihatan pengguna dan peralatan perubatan.

 

Di bawah model perniagaan kerjasama agensi penuh, DKSH akan menyediakan perkhidmatan menyeluruh termasuk aspek pengedaran, pemasaran, jualan, perdagangan elektronik, logistik, analisis pasaran serta perkhidmatan selepas jualan bagi meningkatkan akses rawatan kepada pesakit.

 

Sanofi pula akan menyumbang kepakaran saintifik serta portfolio rawatan penyakit kardiovaskular dan diabetes, selain memanfaatkan kekuatan penyelidikan dan pembangunan syarikat bioperubatan itu dalam memperluaskan inovasi rawatan di rantau ini.

 

Kerjasama itu turut memanfaatkan keupayaan DKSH dalam penglibatan profesional kesihatan, infrastruktur pengedaran yang kukuh, integrasi komersial serta hal ehwal perubatan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan di peringkat serantau.

 

Langkah tersebut diambil ketika sistem kesihatan di rantau Asia Tenggara terus berkembang dipacu oleh populasi yang semakin tua, perubahan gaya hidup serta peningkatan jangkaan terhadap kualiti dan akses penjagaan kesihatan.

 

Dalam masa sama, penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular dan diabetes kekal antara beban kesihatan paling tinggi di Asia Tenggara, menurut rujukan industri termasuk kajian FrontierView mengenai pertumbuhan sektor kesihatan serantau.

 

Kajian tersebut menyatakan rantau Asia Tenggara menjadi pemangkin pertumbuhan kepada syarikat penjagaan kesihatan global melalui perluasan akses pesakit serta peluang komersial yang semakin berkembang.

 

Menurut DKSH, syarikat itu beroperasi di 35 pasaran di seluruh dunia dengan lebih 26,840 pakar, serta mencatatkan hasil bersih sebanyak CHF 11.1 bilion pada tahun 2025.

 

Bagi Unit Perniagaan Penjagaan Kesihatan sahaja, DKSH menjana hasil sekitar CHF 5.8 bilion dengan kira-kira 7,580 kakitangan yang memberi tumpuan kepada pengedaran farmaseutikal, kesihatan pengguna dan peralatan perubatan.

 

Pengurus Besar Sanofi bagi India dan Asia Tenggara, Eric Mansion berkata kerjasama itu penting dalam memperkukuh cara syarikat berkhidmat kepada pesakit di rantau ini.

 

Menurut beliau, gabungan kepakaran Sanofi dan keupayaan komersial DKSH membolehkan akses rawatan diperluaskan, di samping meningkatkan pengalaman profesional kesihatan dan pesakit.

 

Sementara itu, Ketua Unit Perniagaan Penjagaan Kesihatan DKSH , Patrik Grande pula berkata pihaknya komited untuk memperkukuh kerjasama tersebut melalui platform komersial yang memberi tumpuan kepada kefahaman pelanggan, penglibatan pelbagai saluran, serta peningkatan kepatuhan rawatan pesakit.

 

Beliau berkata gabungan portfolio kardiovaskular dan diabetes Sanofi bersama rangkaian DKSH dijangka memberi impak bermakna dalam memperkukuh akses rawatan serta menyokong pembangunan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan di Malaysia, Singapura dan Thailand. - DagangNews.com