KUALA LUMPUR 3 Feb – DKSH Malaysia bekerjasama dengan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd bagi menyediakan perkhidmatan pengedaran, jualan dan pemasaran yang komprehensif untuk portfolio anti infektif (jangkitan) Pfizer di seluruh Malaysia.
Melalui kerjasama ini, Unit Perniagaan Kesihatan DKSH Malaysia akan bertanggungjawab mengedar, menjual dan memasarkan ubat tersebut melibatkan semua saluran penjagaan kesihatannya.
DKSH berkata kerjasama tersebut bertujuan membantu penyedia perkhidmatan kesihatan dan pesakit mendapatkan bekalan ubat yang penting dengan lebih cepat dan teratur.
“Portfolio anti-infektif Pfizer merangkumi ubat sedia ada yang digunakan untuk merawat jangkitan sederhana hingga teruk, selain rawatan antimikrobial baharu yang terbukti berkesan secara klinikal.
“Di bawah perjanjian ini, DKSH akan mengurus keseluruhan operasi komersial termasuk penyimpanan ubat, pengedaran ke seluruh negara serta sokongan jualan dan pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut DKSH, gabungan kepakaran sains Pfizer dan rangkaian pengedaran DKSH yang luas akan membantu memastikan ubat-ubatan penting ini sampai kepada hospital, klinik dan profesional kesihatan dengan lebih cekap.
Kerjasama di Malaysia ini juga merupakan kesinambungan kepada hubungan DKSH dan Pfizer di beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Taiwan dan Laos.
Sementara itu, Ketua Kluster Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina di Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd Deborah Seifert berkata Pfizer komited memanfaatkan sains dan sumber globalnya untuk menyediakan rawatan yang dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit.
“Kerjasama dengan DKSH akan membantu memperluaskan akses kepada ubat anti-infektif Pfizer serta menyokong doktor dan penyedia kesihatan dengan rawatan berkualiti tinggi,” katanya.
Naib Presiden Unit Kesihatan dan Ketua Kepimpinan Negara DKSH, Sandeep Tewari pula berkata, kerjasama ini menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit.
“Gabungan kekuatan Pfizer dalam penyelidikan dan keupayaan DKSH melalui pengedaran serta pemasaran akan memberi manfaat kepada penyedia kesihatan dan pesakit di seluruh negara,” katanya.
Kerjasama itu diyakini akan memperkukuh pengurusan jangkitan di Malaysia dan memastikan pesakit mendapat rawatan yang diperlukan pada masa yang tepat. - DagangNews.com








