KUALA LUMPUR 15 April — DKSH Holdings (Malaysia) Berhad mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 26.3% kepada RM155.5 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025 (FY25).
Prestasi ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan hasil kukuh merentasi semua segmen perniagaan, margin yang stabil, serta peningkatan kecekapan operasi dalam aktiviti pergudangan dan logistik.
Selain itu maklumnya kepada Bursa Malaysia hari ini, pergerakan pertukaran mata wang asing (forex) yang menguntungkan turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan selepas cukai kumpulan tersebut.
"Hasil DKSH naik 8.5% kepada RM8.6 bilion, disokong prestasi aktiviti pembangunan perniagaan baharu dalam segmen produk pengguna, penjagaan kesihatan, dan perniagaan Famous Amos," katanya.
Segmen penjagaan kesihatan mencatatkan peningkatan keuntungan ketara sebanyak 33.1% kepada RM105.5 juta, dipacu pengembangan penyumberan luar komersial dan pemerolehan pelanggan baharu.
Sementara itu jelasnya, keuntungan menerusi segmen produk pengguna turut meningkat 20.8% kepada sebanyak RM131.2 juta, susulan daripada pengoptimuman laluan ke pasaran dan penyelarasan gudang.
Dalam pada itu, menerusi perniagaan Famous Amos pula, walaupun hasil meningkat 6.8%, segmen ini mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM1.7 juta disebabkan oleh peningkatan kos overhed pusat.
"Kumpulan ini meskipun mencatatkan keuntungan tinggi, Lembaga Pengarah DKSH tidak mengesyorkan sebarang pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2025," tambah kenyataan berkenaan lagi.
Keputusan ini diambil bagi mengimbangi keperluan modal kerja untuk menyokong pertumbuhan hasil serta menguruskan pengurangan hutang berterusan dalam persekitaran makroekonomi yang mencabar.
Dalam perkembangan korporat lain, cadangan pengambilalihan baki saham oleh syarikat induk, DKSH Holding Ltd untuk menyahsenarai dari Bursa Malaysia gagal mendapat kelulusan pemegang saham.
Keputusan berkenaan ditolak dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 2 April 2026, dan melangkah ke hadapan, DKSH kekal fokus untuk memperkukuh keupayaan kumpulan itu.
"Antaranya pendigitalan dan automasi bagi mendepani ketidaktentuan dasar perdagangan global dan rasionalisasi subsidi yang mempengaruhi corak perbelanjaan pengguna," katanya. - DagangNews.com








