Dividen PETRONAS tertakluk kepada prestasi pasaran minyak global - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dividen PETRONAS tertakluk kepada prestasi pasaran minyak global - PM Anwar

KUALA LUMPUR 18 Dis — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia perlu menerima hakikat bahawa negara tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), memandangkan syarikat minyak negara itu beroperasi sebagai entiti komersial yang prestasinya berkait rapat dengan harga minyak global.

 

Beliau berkata pembayaran dividen PETRONAS kepada kerajaan ditentukan oleh keadaan pasaran dan prestasi industri minyak dan gas, yang kekal terdedah kepada turun naik dalam landskap global yang tidak menentu.

 

“PETRONAS ialah entiti komersial. Dividen bergantung kepada prestasi dan harga petroleum. Kita perlu menerima realiti.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Negara ini, untuk bergerak ke hadapan, tidak boleh terlalu bergantung kepada sumbangan PETRONAS,” katanya semasa sesi taklimat selama satu jam bersama ketua-ketua editor media tempatan dan antarabangsa di Putrajaya

 

Perdana Menteri berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada kerajaan bimbang terhadap penurunan bayaran dividen syarikat minyak milik kerajaan itu dan sama ada trend tersebut dijangka berterusan.

 

Anwar berkata walaupun kerajaan secara semula jadi mengharapkan dividen yang lebih tinggi bagi menyokong pembangunan negara, jangkaan sedemikian perlu diseimbangkan dengan keadaan global semasa dalam sektor minyak dan gas.

 

“Sebanyak mana pun kita mahukan dividen yang lebih tinggi, kita juga perlu melihat apa yang sedang berlaku di peringkat global dan dalam industri minyak dan gas,” katanya, sambil menambah Malaysia mesti menumpukan kepada penciptaan entiti perniagaan baharu dan pemacu ekonomi yang boleh menjana hasil mampan untuk kerajaan pada masa hadapan.

 

PETRONAS, satu-satunya syarikat Fortune 500 negara, merupakan penyumbang tunggal terbesar kepada perbendaharaan kerajaan. Kementerian Kewangan, dalam laporan Fiscal Outlook and Federal Government Revenue Estimates 2026, menyatakan bagi tahun depan, kerajaan menjangkakan dividen RM20 bilion daripada PETRONAS berbanding RM32 bilion yang telah komited untuk dibayar oleh syarikat itu bagi tahun 2025.

 

Bercakap kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen pada Oktober lalu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan membuat andaian bahawa harga minyak akan berada dalam lingkungan AS$60 hingga AS$65 setong tahun depan, yang menjejaskan hasil berkaitan petroleum.

 

 

 

 

 

 

Antara yang hadir pada acara hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

 

Seramai 92 petugas media tempatan dan antarabangsa menghadiri acara tersebut. — BERNAMA