KUALA LUMPUR 9 Mac - Pengumuman dividen tahunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sentiasa menjadi penanda aras penting terhadap prestasi kewangan dana persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketika ini, terdapat kira-kira 125,000 pencarum LTAT yang terdiri daripada pegawai dan anggota tentera yang masih berkhidmat.
Dana ini berperanan melindungi kebajikan anggota melalui pembayaran dividen tahunan, faedah hilang upaya serta bantuan pendidikan dan perumahan.
LTAT mewajibkan caruman sebanyak 10% daripada gaji bulanan anggota, manakala kerajaan menyumbang tambahan 15%.

Struktur caruman ini menjadikan LTAT antara dana persaraan yang penting dalam menjamin masa depan kewangan warga ATM.
Justeru, kadar dividen yang diumumkan setiap tahun bukan sekadar angka pulangan pelaburan tetapi juga cerminan kestabilan institusi kewangan tersebut.
Bagi tahun kewangan 2024, LTAT mencatat prestasi memberangsangkan apabila mengumumkan dividen sebanyak 5.25% termasuk bonus 0.25%.
Jumlah agihan itu melibatkan RM514.20 juta kepada 125,014 pencarum.
Kadar tersebut merupakan yang tertinggi dalam tempoh 7 tahun.


Lebih penting, ia menandakan tahun ketiga berturut-turut LTAT mengekalkan dividen sekurang-kurangnya lima peratus sejak 2022.
Prestasi ini turut disokong oleh peningkatan kukuh kedudukan rizab kewangan LTAT.
Rizab terkumpul melonjak kepada RM1.011 bilion, meningkat lebih 160% berbanding tahun sebelumnya.
Perkembangan ini memberi gambaran bahawa usaha penstrukturan semula dan pengukuhan kewangan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu mula membuahkan hasil.
Namun perjalanan LTAT sepanjang dekad lalu tidak sentiasa lancar.

Pada penghujung dekad 2010-an, dana ini berdepan tekanan akibat prestasi pelaburan yang lemah serta ketidaktentuan ekonomi global.
Kadar dividen jatuh ke paras rendah iaitu 2.5% pada 2019, diikuti 3.5% (2020) dan 4.1% (2021).
Angka ini jauh berbeza berbanding era awal 2000-an apabila LTAT pernah mencatat dividen melebihi 10%.
Walau bagaimanapun, prestasi mula pulih apabila dividen meningkat kepada 5% pada 2022 dan 2023 sebelum naik kepada 5.25% pada 2024.
Sebagai dana yang mempunyai hubungan rapat dengan industri pertahanan negara, prestasi LTAT turut dipengaruhi projek strategik kerajaan.



Antara isu besar yang pernah menjejaskan reputasi LTAT ialah kontroversi projek kapal tempur pesisir (LCS) melibatkan Boustead Naval Shipyard.
Kelewatan projek bernilai berbilion ringgit itu mencetuskan kritikan terhadap tadbir urus serta pengurusan kontrak pertahanan.
Episod tersebut menjadi pengajaran penting mengenai risiko pelaburan dalam projek pertahanan berskala besar.
Portfolio pelaburan LTAT juga unik kerana merangkumi pelbagai sektor strategik.
Antaranya industri pertahanan, logistik dan penyelenggaraan aset ketenteraan, sektor farmaseutikal dan hospital, serta perladangan dan hartanah.

Kepelbagaian ini memberi potensi pulangan jangka panjang, namun turut meningkatkan kerumitan pengurusan risiko.
Sebagai contoh, projek pertahanan lazimnya mempunyai tempoh pelaksanaan panjang dan bergantung kepada keputusan dasar kerajaan.
Antara kontrak penting yang disokong LTAT melalui kumpulan Boustead ialah penyelenggaraan kapal selam TLDM dan pesawat TUDM.
Tahun lalu, Boustead Heavy Industries Corp (BHIC) memeterai kerjasama dengan CNIM Perancis bagi cadang membekalkan jambatan terapung kepada ATM.
Bagi tahun kewangan 2025, beberapa faktor dijangka mempengaruhi kadar dividen LTAT.

Antaranya prestasi pasaran kewangan, keuntungan anak syarikat utama serta perkembangan projek industri pertahanan negara.
Sekiranya syarikat berkaitan mencatat prestasi kukuh, ia berpotensi meningkatkan pendapatan dana.
LTAT juga dilihat memainkan peranan penting dalam Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) melalui beberapa kerjasama strategik Boustead dengan rakan industri antarabangsa.
Boustead Holdings Berhad telah memeterai tiga perkongsian strategik bertujuan mengukuhkan peranannya sebagai paksi industri serantau.
Antaranya dengan syarikat Otokar dari Turkiye untuk meneroka pemasangan dan pembuatan sistem casis beroda serta kenderaan berperisai ATM, kerjasama dengan PT Komodo Armament dari Indonesia dan Huanghu Science and Technology Co Ltd dari China.
Dalam senario konservatif, LTAT mungkin mengekalkan kadar sekitar 5 hingga 5.25% bagi memperkukuh rizab kewangan.
Namun, secara tradisinya LTAT cenderung mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan kestabilan jangka panjang dana.
Oleh itu, pengumuman dividen LTAT bagi 2025 akan terus menjadi perhatian warga ATM kerana ia berkait langsung dengan kesejahteraan kewangan mereka selepas bersara.- DagangNews.com








