Disaman RM24 juta: Kebenaran tidak ditentukan oleh tular, tekanan awam - Azizan Osman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Disaman RM24 juta: Kebenaran tidak ditentukan oleh tular, tekanan awam - Azizan Osman

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - Pengasas Richworks, Profesor Datuk Wira Dr Azizan Osman memilih untuk kekal tenang selepas didakwa berdepan tuntutan saman lebih RM24 juta bersama tiga individu lain termasuk isterinya, Datin Wira Hasdiana Ahmad.

 

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya bagi mempertahankan kebenaran serta maruah mereka.

 

"Bagi kami, kebenaran tidak ditentukan oleh tular dan tekanan awam, tetapi melalui prinsip keadilan dan bukti yang sah dalam sistem perundangan negara ini.

 

 

 

"Satu writ saman telah difailkan terhadap kami bertiga dan telah disebarkan secara terbuka oleh individu terbabit kepada umum. Kami menghormati hak beliau di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk membawa pertikaian ke mahkamah.

 

"Pada masa sama hak kami juga dilindungi oleh undang-undang yang sama, dan kami akan mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk mempertahankan kebenaran," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

 

azizan
tangkap layar Facebook Profesor Datuk Wira Dr Azizan Osman

 

Beliau berkata, pihaknya tidak akan membalas dengan kata-kata kesat, fitnah atau drama di media sosial kerana itu hanya akan mencemarkan dan mempermainkan institusi kehakiman.

 

Sebaliknya, mereka memilih untuk melindungi pasukan kami dan organisasi yang telah dibina bersama selama bertahun-tahun, menjaga prinsip serta nilai dalam menghadapi ujian dan bertindak secara matang, profesional dan berlandaskan lunas undang-undang.

 

Beliau bagaimanapun tidak menafikan dalam lebih seminggu lalu, pelbagai tuduhan dan spekulasi telah ditularkan di media sosial yang melibatkan dirinya dan isteri selain Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad.

 

"Kebenaran tidak memerlukan suara paling lantang, hanya keyakinan, prinsip, dan bukti yang kukuh. Kami terus melangkah ke hadapan dengan tenang, yakin, dan percaya sepenuhnya kepada sistem keadilan negara ini," katanya. - DagangNews.com