KUALA LUMPUR 16 Mei — Dialog Group Berhad dijangka menumpukan perniagaannya kepada segmen huluan dan pertengahan selepas merekodkan penurunan hasil bagi tempoh 9MFY25 sebanyak 19 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM1.89 bilion, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, segmen huluan kumpulan tu diunjur menyelia kerja pembangunan Kluster Muda Baram dengan jangkaan tarikh operasi pada 3QFY27 serta projek pra-pembangunan Kluster Raja berikutnya yang bakal beroperasi pada tempoh 3QFY28.
Katanya, segmen pertengahan pula dijangka berkembang dengan baik, memandangkan tiga projek iaitu tangki boleh diperbaharui 24kcbm, tangki boleh diperbaharui 150kcbm dan unit pemisah udara LNG masing-masing bakal beroperasi 3QFY25, 1QFY27 dan 2QFY27.
"Situasi ini berdasarkan hasil yang lebih rendah daripada jangkaan dengan kami menyemak balik unjuran pendapatan Dialog untuk FY25, FY26 dan FY27 masing-masing turun sebanyak 73 peratus, 11 peratus dan tujuh peratus," katanya dalam satu nota kajian.
Perkembangan itu tambah firma penyelidikan itu, mengambil kira harga minyak mentah lebih rendah dan pemulihan subsektor petrokimia adalah perlahan pada FY25 hingga FY26, selain faktor ekonomi global tidak menentu berikutan ketegangan berterusan tarif perdagangan.
Segmen hiliran yang terjejas katanya, terus mempengaruhi hasil Dialog manakala proses penjualan daripada loji petrokimia dan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) yang kedua-duanya berjumlah RM135 juta, masih menjadi halangan kepada prestasinya.
Walaupun kesan daripada segmen tersebut dijangka bersifat sekali sahaja, impaknya kepada hasil keseluruhan kumpulan berkenaan kata MIDF Research, kemungkinan boleh berterusan lagi sehingga permulaan FY26.
"Selain itu, kerugian tukaran mata wang asing yang direalisasikan dijangka terus menjejaskan usaha sama dan syarikat bersekutunya, kerana ketidaktentuan dalam ekonomi global terus memberi kesan kepada anak syarikat antarabangsanya," kata firma penyelidikan tersebut.
Susulan perkembangan itu, ia masih mengekalkan saranan "neutral" ke atas Dialog dengan harga sasaran sesaham syarikat berkenaan disemalk semula kepada RM1.85 berbanding sebelumnya RM1.90. - DagangNews.com








