Dialog berpotensi untung 7% mulai FY28 berikutan perluasan terminal minyak di Pengerang – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dialog berpotensi untung 7% mulai FY28 berikutan perluasan terminal minyak di Pengerang – MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 April – Perluasan terminal simpanan minyak di Pengerang, Johor dijangka memberikan kelebihan strategik kepada Dialog Group Berhad susulan krisis di Timur Tengah, kata MBSB Research.


Berdasarkan perkembangan semasa, firma penyelidikan itu mengunjurkan projek Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT) Fasa 3 ini berpotensi meningkatkan keuntungan hingga 7% mulai tahun kewangan 2028.


Katanya, langkah kumpulan itu tepat pada masanya ketika permintaan terhadap infrastruktur simpanan tenaga semakin meningkat, khususnya bagi mengharungi risiko gangguan bekalan bahan api global.


"Projek Dialog ini melibatkan tambahan kapasiti 614,000 meter padu bagi produk petroleum bertapis dan biofuel, yang dijangka siap pada pertengahan 2028," kata MBSB Research dalam nota analisisnya.


Selain itu jelas firma berkenaan, kapasiti baharu tersebut juga sudah mendapat komitmen pelanggan jangka panjang apabila BP Singapore Pte Ltd dari Singapura dilantik sebagai pengguna khusus.


Sumbangan pendapatan daripada Fasa 3 ini dijangka bermula FY28 dan berpotensi meningkatkan jumlah kapasiti simpanan kumpulan berkenaan sekitar 11% hingga kira-kira 12% berbanding paras semasa.

 

Artikel berkaitan: Dialog mulakan perluasan Fasa 3 Terminal Laut Dalam Pengerang, tambah kapasiti 614,000 meter padu

 

Dialog_DagangNews


Secara keseluruhan, MBSB Research menganggarkan kemudahan PDT berupaya menyumbang pertumbuhan keuntungan tambahan paling rendah kira-kira 4% manakala tertinggi sebanyak 7% kepada Dialog.


"Pada masa sama, kami mengekalkan pendekatan konservatif terhadap margin walaupun simpanan biofuel kelazimannya menawarkan kadar sewaan lebih tinggi berbanding minyak mentah," kata firma berkenaan.


Ia turut menekankan isu ketegangan geopolitik semasa di Timur Tengah sudah meningkatkan risiko kekurangan bekalan bahan api dunia akibat gangguan rantaian bekalan dan laluan transit utama.


Perkembangan ini ujar MBSB Research, menjadikan kemudahan terminal tangki sebagai aset strategik penting dalam menjamin keselamatan tenaga, dengan Dialog didapati memiliki banyak kelebihan.


Trend itu turut disokong oleh tindakan ekonomi besar seperti China dan India yang mempercepatkan perluasan rizab petroleum strategik masing-masing bagi menghadapi kemungkinan kejutan bekalan.


"Justeru, kami mengekalkan saranan ‘beli’, dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.55 daripada RM2.17 sebelum ini, disokong peningkatan keterlihatan hasil selepas siapnya Fasa 3 PDT," katanya.


Penilaian MBSB Research itu berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) hadapan lima tahun dan diambil kira sumbangan kapasiti tambahan yang bakal beroperasi menjelang FY28. - DagangNews.com