Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Mac – Dewan Rakyat hari ini tidak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, selepas tidak memperoleh sokongan majoriti dua pertiga yang diperlukan.

 

RUU berkenaan hanya menerima 146 undi menyokong ketika sesi pengundian dijalankan, manakala 44 Ahli Parlimen berkecuali dan 32 lagi tidak hadir.

 

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan RUU tersebut bagi bacaan kali kedua sebelum ia dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

 

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, sebarang pindaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada keseluruhan Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan.

 

Cadangan pindaan itu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi bagi memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus negara, termasuk memastikan had tempoh kepimpinan tertinggi negara lebih jelas dan terhad.

 

Bagaimanapun, kegagalan memperoleh sokongan mencukupi menunjukkan masih terdapat perbezaan pendirian dalam kalangan Ahli Parlimen berhubung cadangan tersebut.

 

Perkembangan itu menyaksikan usaha untuk meminda Perlembagaan bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri setakat ini belum berjaya direalisasikan. - DagangNews.com