KUALA LUMPUR 11 Julai – Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (SMCCI) bersama Maybank Singapore Limited telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik bagi memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta memperluas penyertaan syarikat milik Melayu Islam dalam ekosistem halal di Singapura dan Malaysia.
Kerjasama strategik itu memberi tumpuan khusus kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan turut merangkumi rantau ASEAN secara keseluruhan.
Presiden SMCCI, Dr Abdul Malik Hassan berkata, pihaknya melihat peningkatan minat dalam kalangan ahli untuk meneroka peluang di JS-SEZ dan rantau ini khususnya dalam sektor halal.
“Kerjasama ini membolehkan kami memperkukuh sokongan terhadap usahawan yang sedia berkembang khususnya dalam meneroka peluang di peringkat serantau.
“Fokus kami adalah untuk membuka laluan kepada pertumbuhan rentas sempadan dan membimbing perusahaan milik Melayu Islam di Singapura menyesuaikan diri dalam landskap ASEAN yang kian dinamik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di bawah kerjasama itu, kedua-dua pihak akan menganjurkan pelbagai acara, persidangan dan lawatan perdagangan bagi memudahkan akses pasaran, perkongsian ilmu dan pembangunan keupayaan dalam sektor halal.
SMCCI akan memanfaatkan jaringan dan pengetahuannya di Johor untuk memberi panduan kepada ahli-ahli berkenaan penubuhan perniagaan, kemasukan ke pasaran, penyelesaian ruang kerja, kemas kini dasar dan maklumat pasaran.
Seramai 300 ahli SMCCI dijangka menerima manfaat daripada sokongan yang dipertingkat serta peluang yang diperluaskan di peringkat serantau.
Maybank pula akan melengkapkan usaha SMCCI menerusi rangkaian penyelesaian perbankannya, termasuk meneruskan kerjasama dalam program myimpact Microbusiness yang menyediakan latihan keusahawanan, bimbingan serta dana permulaan kepada usahawan kurang berkemampuan.
Sementara itu, Ketua Perbankan Islam Maybank Singapura, Sazzali Sabandi berkata, ekonomi halal merupakan sektor yang berkembang pesat dengan potensi besar di seluruh ASEAN.
“Selain Malaysia dan Indonesia, kami turut melihat minat yang semakin meningkat dari Thailand, Vietnam dan Kemboja untuk meneroka pasaran halal global yang dianggarkan mencecah AS$5 trilion menjelang 2030.
“Dengan kehadiran Maybank di semua 10 negara ASEAN, kami mampu menyokong PKS dengan alat dan penyelesaian kewangan yang sesuai untuk merebut peluang rentas sempadan.
“Kami berbangga dengan kerjasama ini kerana ia selaras dengan misi Maybank untuk memanusiakan perkhidmatan kewangan, berteraskan platform berpaksikan nilai,” katanya. - DagangNews.com








