Destini terima lanjutan kontrak 18 bulan bekal alat ganti pesawat TUDM  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Destini terima lanjutan kontrak 18 bulan bekal alat ganti pesawat TUDM 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Sept – Destini Bhd menerusi anak syarikatnya, Destini Prima Sdn Bhd (DPSB), menerima surat setuju terima (LOA) daripada Kementerian Pertahanan bagi lanjutan kontrak sedia ada melibatkan pembekalan alat ganti pesawat bukan proprietari untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu nilai keseluruhan kontrak kekal sebanyak RM403.75 juta, yang merupakan had siling gabungan bersama 29 kontraktor lain yang terlibat dalam perjanjian tersebut.

 

Tempoh kontrak asal yang dijadualkan tamat pada 30 Jun 2025 kini telah dilanjutkan selama 18 bulan, bermula 1 Julai 2025 sehingga 31 Disember 2026, kata Destini, sebuah kumpulan industri pelbagai yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia.

 

“DPSB turut dikehendaki mengemukakan bon pelaksanaan apabila menerima pesanan daripada pihak kerajaan. Nilai bon pelaksanaan adalah sebanyak 2.5 peratus bagi pesanan melebihi RM200,000, dan 5.0 peratus bagi pesanan melebihi RM500,000,” jelas syarikat itu.

 

Lanjutan kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan Destini bagi tahun kewangan semasa dan akan datang.

 

Destini Berhad ditubuhkan pada tahun 1991 sebagai Satang Jaya Sdn Bhd, bermula sebagai pembekal alat alat penerbangan dan alat ganti pesawat daripada OEM kepada kerajaan, khususnya untuk Angkatan Tentera Malaysia.

 

Pada Disember 2005, Satang Jaya disenaraikan di Bursa Malaysia, dan pada September 2011 menukar nama kepada Destini Berhad sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan serta regularisasi kumpulan. - DagangNews.com