Destini mencatat keuntungan suku tahunan kedua berturut-turut pada Q2 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Destini mencatat keuntungan suku tahunan kedua berturut-turut pada Q2

KUALA LUMPUR 24 Jan - Destini Berhad berjaya mengekalkan keuntungan bagi suku kedua berturut-turut apabila pendapatan meningkat lebih dua kali ganda, terutamanya disebabkan oleh penyiapan kereta api dan peralatan oleh sektor mobiliti dan penerbangannya, serta langkah penjimatan kos yang dilakukan oleh syarikat itu.

 

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan itu melaporkan keuntungan bersih RM6.07 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY2025) berbanding kerugian bersih RM3.93 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil melonjak 196% kepada RM83.56 juta daripada RM28.22 juta, menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia.

 

Tiada dividen interim telah dibayar atau diisytiharkan untuk 2QFY2025.

 

Berbanding 1QFY2025, keuntungan bersih kumpulan meningkat sebanyak 13.9% suku ke suku (q-o-q) daripada RM5.33 juta, manakala hasil meningkat 5.79% q-o-q daripada RM78.99 juta.

 

Bagi separuh pertama FY2025, Destini mencatatkan keuntungan bersih RM11.4 juta dengan hasil RM162.55 juta.

 

Dalam satu kenyataan, pengarah eksekutif syarikat itu Ismail Mustaffa berkata Destini optimistik untuk mengekalkan momentum positifnya untuk sepanjang tahun kewangan.

 

Dengan buku tender kira-kira RM678 juta, yang terdiri terutamanya daripada kontrak rel dan keupayaan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) komponen yang baru diperoleh daripada unitnya Trovon Group Pty Ltd, syarikat itu berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang muncul di dalam industri rel Malaysia dan memberikan hasil yang konsisten untuk pemegang kepentingannya, katanya.

 

“Sebagai satu-satunya penyedia MRO rel Tahap 4 di Malaysia, kami dilengkapi secara unik untuk menangani permintaan penyelenggaraan yang kompleks, menjadikan kami sebagai peneraju dalam sektor itu,” tambahnya.

 

Saham Destini ditutup turun setengah sen atau 1.39% pada 35.5 sen pada Khamis, diterjemahkan kepada permodalan pasaran RM179.7 juta. - DagangNews.com