Denda RM42.7 juta kes kartel dedak ayam boleh jejas 2.7% untung PPB bagi FY26, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Denda RM42.7 juta kes kartel dedak ayam boleh jejas 2.7% untung PPB bagi FY26, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 Mac — Denda RM42.7 juta yang dikenakan ke atas anak syarikat PPB Group Berhad berikutan kes kartel dedak ayam berisiko menjejaskan 2.7% keuntungan bersih kumpulan bagi FY26.


Bagaimanapun MBSB Research berpandangan kesan kewangan terhadap kumpulan itu dijangka terhad memandangkan denda tersebut berkemungkinan direkodkan sebagai item luar biasa atau bukan teras.


Menurut firma penyelidikan tersebut, kes itu melibatkan FFM Berhad, subsidiari yang dimiliki 80% kumpulan, kerana melanggar Seksyen 4(1) dibaca bersama-sama dengan Seksyen 4(2)(a) Akta Persaingan 2010. 

 

 

 

 

 


"Ia susulan hukuman denda oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada Disember 2023 berkaitan kes kartel industri dedak ayam ternakan bersama-sama empat lagi syarikat pengeluar lain," katanya.


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Mac 2026 namun membenarkan FFM memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan itu setelah rayuan ditolak oleh Tribunal Persaingan pada 11 Februari 2026.


MBSB Research menambah, mahkamah itu turut memberikan perintah penangguhan sementara terhadap keputusan tribunal dan keputusan MyCC, sekali gus menangguhkan penguatkuasaan denda buat masa ini.


Langkah ini jelasnya, mengurangkan risiko pembayaran dalam tempoh terdekat kerana semua tindakan penguatkuasaan, pelaksanaan atau pemulihan berkaitan keputusan tersebut ditangguhkan sementara.
 

FFM
Foto kredit laman web rasmi FFM Berhad


“Dengan kebenaran semakan dan penangguhan, fokus kini beralih kepada keputusan pendengaran 'inter partes' bagi permohonan penangguhan penuh serta garis masa prosiding semakan kehakiman,” katanya.


Dalam senario terburuk tambah MBSB Research, FFM berdepan denda RM42.7 juta, yang diterjemahkan kepada pendedahan sekitar RM34.2 juta kepada PPB berdasarkan pegangan 80% dalam syarikat itu.


Firma penyelidikan tersebut namun menganggarkan jika denda itu masih juga perlu dibayar, kesannya terhadap keuntungan bersih PPB hanya adalah sekitar -2.7% bagi FY26 dan kira-kira -2.6% bagi FY27.


Ia menjelaskan beberapa kemungkinan termasuk penangguhan penguatkuasaan sehingga semakan kehakiman yang menunda aliran keluar tunai dan pengiktirafan caj luar biasa dalam penyata kewangan.

 

 

 

 

 


"Pelabur disaran memantau beberapa perkembangan penting termasuk tarikh dan keputusan pendengaran, jadual prosiding serta pendedahan berkaitan atau tarikh pembayaran denda," kata MBSB Research.


Sehubungan situasi itu, firma berkenaan masih lagi mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham PPB dengan harga sasaran (TP) yang turut tidak berubah iaitu RM12.33 sesaham. - DagangNews.com