KUALA LUMPUR 16 April - Konflik di Timur Tengah dijangka memberi kesan positif kepada Deleum Bhd susulan peningkatan aktiviti penggerudian dan intervensi telaga oleh syarikat minyak utama, menurut UOB Kay Hian (UOBKH) Research.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan kos bahan api akan mendorong syarikat minyak meningkatkan aktiviti penggerudian dan intervensi telaga.
“Bagi syarikat minyak utama, aktiviti peningkatan pengeluaran merupakan pilihan mudah untuk mengekang penurunan semula jadi telaga sedia ada.
“Di Malaysia, pengeluaran minyak mentah domestik telah merosot lebih separuh kepada hanya 350,000 tong minyak sehari,” katanya dalam nota kajian.
Sehubungan itu, UOBKH Research berkata ia akan mengekalkan saranan “beli” ke atas saham tersebut dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM1.75 berbanding RM1.55 sebelum ini, berdasarkan penilaian pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) 2026 yang lebih tinggi sebanyak sembilan kali.
“Kami melihat Deleum sebagai penerima manfaat utama dalam segmen penyelenggaraan serta saham premium dalam kalangan syarikat minyak dan gas bermodal kecil susulan tema struktur tersebut.
“Keupayaan pembayaran dividen tidak akan terjejas oleh peningkatan perbelanjaan modal memandangkan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh dan penjanaan aliran tunai yang stabil. Pada harga semasa, saham ini menawarkan hasil dividen sekitar 8%,” katanya.
Mengenai prestasi kewangan Deleum, UOBKH menjangkakan kumpulan akan mencatat prestasi lebih kukuh pada separuh kedua, selepas berjaya melepasi suku pertama yang lazimnya lebih lemah bagi pemain minyak dan gas susulan musim monsun.
Katanya, segmen perkhidmatan bersepadu medan minyak kumpulan itu berkemungkinan mencatatkan kerugian yang lebih kecil apabila kontrak slickline beralih sepenuhnya kepada operasi, walaupun segmen penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) merekodkan keuntungan.
“Kami juga difahamkan bahawa kontrak MCM secara kontrak membenarkan rundingan semula harga pada 2027.
“Unjuran kami adalah selari dengan panduan pengurusan, yang dilihat realistik memandangkan kontrak MCM pertama kumpulan itu mencapai tahap keuntungan mampan pada suku ketiga 2018,” kata UOBKH.
Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, Deleum mempunyai pemacu pendapatan lain seperti peningkatan jualan bagi teknologi desludging yang dibangunkan sendiri serta operasi di Indonesia melalui PT OSA Industries Indonesia.
Di samping itu, buku tempahan kumpulan yang kini berjumlah RM2.5 bilion meletakkannya pada kedudukan yang kukuh, disokong rekod prestasi yang baik serta pegangan dalam Solar Turbines International Company.
Bagaimanapun, firma itu berkata mungkin mengambil masa satu suku untuk melihat pemangkin material bagi perkhidmatan intervensi telaga, selaras dengan pandangan syarikat perkhidmatan medan minyak global.
Dari segi impak kos diesel, UOBKH menyatakan penggunaan bahan api Deleum adalah lebih rendah berbanding rakan industri.
“Dengan andaian penggunaan bahan api yang sama tanpa mekanisme pemindahan kos, dan harga diesel tanpa subsidi adalah RM4 lebih tinggi berbanding RM2.99 seliter sebelum perang, impak kepada perbelanjaan operasi terhadap pendapatan 2026 kami adalah minimum iaitu di bawah 3%,” jelas firma itu. - DagangNews.com








