Defisit Kerajaan Persekutuan diramal susut kepada 3.8% daripada KDNK pada 2025 - BMI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Defisit Kerajaan Persekutuan diramal susut kepada 3.8% daripada KDNK pada 2025 - BMI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 April — BMI mengekalkan ramalan defisit belanjawan kerajaan Persekutuan Malaysia menyusut kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, iaitu turun berbanding 4.1 peratus pada 2024.
 

Anak syarikat firma penyelidikan Fitch Solutions itu berkata, ia kekal selesa dengan anggarannya itu, memandangkan rekod prestasi pentadbiran semasa yang berpegang teguh pada sasaran fiskal dan penjajaran diunjurkan kerajaan Malaysia sendiri.
 

Peruntukan tahunan itu juga katanya, menandakan langkah positif ke arah matlamat jangka sederhana Malaysia untuk berusaha mengurangkan lagi kadar defisit belanjawannya kepada purata sebanyak 3.5 peratus antara 2025 dan 2027.


"Kerajaan meneruskan penyatuan fiskal dan menyasarkan defisit 3.8 peratus KDNK pada 2025 dengan pemacu utama pengurangan ini ialah perluasan asas cukai yang berterusan manakala perbelanjaan akan terus dikekang," kata BMI dalam nota kajian.


Bagaimanapun firma itu memberi amaran, risiko ramalan adalah wajaran ke arah defisit lebih besar, kerana pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import Malaysia.


Tindakan itu katanya, boleh memberi impak besar kepada ekonomi Malaysia yang bersifat eksport dan akan bergantung pada tahap kejayaan dicapai apabila kedua-dua pihak terlibat dalam rundingan untuk menurunkan kadar percukaian tersebut.


BMI juga meramalkan sedikit kelembapan dalam pertumbuhan pendapatan kerajaan Persekutuan dengan mengunjurkan ia bakal menurun sedikit kepada sebanyak 16.3 peratus daripada KDNK pada 2025 berbanding 16.6 peratus dicatatkan pada 2024.


Ia merujuk inti pati belanjawan 2025 termasuk pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) meliputi transaksi perkhidmatan komersial perniagaan-ke-perniagaan, produk makanan bukan keperluan dan barangan premium diimport seperti salmon dan alpukat.


Justeru firma penyelidikan itu menganggarkan bahawa langkah-langkah ini boleh menjana pendapatan sebanyak RM51.7 bilion, atau 2.2 peratus daripada KDNK, yang kerajaan merancang untuk mengimbangi penurunan pendapatan berkaitan petroleum.


“Walaupun mungkin berkurangan kepada tiga peratus daripada KDNK 2025 berbanding 3.2 peratus pada 2024, berdasarkan unjuran harga minyak disemak kerajaan sebanyak AS$75 hingga AS$80 setong pada 2025, ia sesuai dengan matlamat mengurangkan pergantungan," katanya.


Selain itu BMI menjangkakan kerajaan akan mencapai sasaran hasil, seperti dilakukan secara konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini, melalui pengenaan cukai dua peratus ke atas pendapatan individu melebihi RM100,000 mulai tahun taksiran 2025.


Firma itu juga menjangkakan jumlah perbelanjaan mungkin melebihi tahap belanjawan setelah jurang tersebut telah mengecil sejak 2022, dengan jumlah perbelanjaan dijangka menurun kepada 20.1 peratus daripada KDNK pada 2025 berbanding 20.9 peratus pada 2024.


Peningkatannya itu kata BMI, selaras hasrat penggubal dasar mengurangkan subsidi petrol RON95 sedia ada berkuat kuasa pertengahan 2025 serta menarik balik subsidi pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk kumpulan berpendapatan 15 peratus teratas.


“Meskipun penarikan balik subsidi petrol RON95 akan diterjemahkan kepada kira-kira RM20 bilion dalam penjimatan, butiran mengenai pelan itu masih kurang, menimbulkan persoalan pelaksanaan dan keberkesanan dalam usaha penyatuan fiskal Malaysia,” tambahnya.


BMI meramalkan bahawa jumlah hutang kerajaan Persekutuan akan kekal meningkat sebanyak kira-kira 63 peratus daripada KDNK, dengan melonjak kepada RM1.23 trilion pada akhir 2024 daripada RM1.17 trilion pada akhir 2023.


Ia menyatakan bahawa paras hutang awam Malaysia kekal secara relatif tinggi, tetapi risiko fiskal dijangka kekal terkawal, paling tidak kerana lebih 97 peratus daripada jumlah hutang adalah dalam sekuriti berdenominasi ringgit. - DagangNews.com