KUALA LUMPUR 26 Mei — Dayang Enterprise Holdings Berhad diunjur memperoleh lebih banyak kontrak baharu dalam dua suku akan datang setelah musim tengkujuh berakhir, kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, jangkaan itu berdasarkan kepada jumlah kontrak tertunggak yang direkodkan kumpulan berkenaan setakat ini dianggar mencecah RM5.1 bilion.
Katanya, walaupun mencatatkan permulaan perniagaan yang agak perlahan pada tempoh 1Q, ia masih lagi menjangkakan hasil Dayang mampu meningkat lagi secara bermusim pada 2Q hingga 3Q.
"Kami percaya segmen penyelenggaraan kekal berdaya tahan ketika harga minyak global yang lemah selain perkhidmatan sewa khas marin," kata firma berkenaan dalam satu nota kajiannya.
RHB Research menambah, ia melihat ada penyusutan berikutan Tinjauan Aktiviti Petronas terkini yang sebenarnya bukan luar jangkaan memandangkan berlaku pengurangan dalam skala perbelanjaan.
Situasi itu kata firma tersebut, mempunyai kesan perbelanjaan yang paling sedikit berikutan kepentingan dalam mengekalkan tahap pengeluaran untuk tujuan penjanaan aliran tunai operasi.
Sementara itu, Perdana Petroleum yang dimiliki 64 peratus juga menjangkakan penggunaan kapal akan meningkat mulai 2QFY25 disokong dengan bilangan kontrak jangka panjang lebih tinggi.
"Kadar sewa harian berkemungkinan kekal teguh kerana bekalan kapal yang ketat dengan Dayang boleh menjimatkan wang tunai untuk program pembaharuan dan pembaharuan armada," katanya.
Berdasarkan situasi tersebut, ia mengekalkan saranan "beli" ke atas syarikat berkenaan dengan harga sasaran sesaham disemak semula kepada RM2.92 berbanding RM2.74 sebelum ini. - DagangNews.com








