Dayang berpotensi umum dividen khas RM0.18 sesaham, pendapatan dijangka kekal berdaya tahan - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dayang berpotensi umum dividen khas RM0.18 sesaham, pendapatan dijangka kekal berdaya tahan - CGS International

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Feb - Dayang Enterprise Holding Bhd (DEHB) berpotensi mengagihkan dividen khas sehingga RM0.18 sesaham, didorong oleh kedudukan tunai yang kukuh serta kunci kira-kira yang terlebih modal, menurut CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan anggaran, lebihan tunai kumpulan itu boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) tanpa menjejaskan kekuatan kewangan atau fleksibiliti pertumbuhan jangka panjangnya.

 

Katanya, setakat akhir suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25), DEHB mencatatkan kedudukan tunai bersih termasuk deposit tetap sebanyak RM546 juta atau RM0.47 sesaham, bersamaan kira-kira 28% daripada permodalan pasaran, disokong oleh aliran tunai bebas (FCF) yang kukuh serta keperluan perbelanjaan modal yang terhad.

 

"Berdasarkan unjuran tunai bersih 2025F sekitar RM640 juta dan dengan mengambil kira penampan berhemat RM300 juta serta pelaburan dalam dua kapal binaan baharu, kami menganggarkan lebihan tunai kira-kira RM210 juta. 

 

"Jumlah itu berpotensi dikembalikan kepada pemegang saham melalui dividen khas RM0.18 sesaham, yang mewakili hasil sekitar 11%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

CGSI menambah, walaupun senario asas mengekalkan kadar pembayaran dividen 65% dengan DPS RM0.11, analisis tersebut menonjolkan keupayaan DEHB untuk mengoptimumkan pengurusan modal dan meningkatkan kecekapan penggunaan modal. 

 

Kumpulan itu juga dijangka terus menjana lebihan FCF pada 2026F hingga 2027F, sekali gus membina semula tunai bersih bagi pengagihan atau pertumbuhan masa hadapan.

 

Dari segi operasi, katanya, pendapatan DEHB dijangka kekal berdaya tahan pada 2026, disokong oleh aliran kerja yang kembali normal selepas tahun peralihan 2025 di bawah kontrak Pan Malaysia yang baharu. 

 

Pemulihan kadar penggunaan kapal sokongan luar pesisir (OSV) turut dijangka menyokong prestasi kumpulan.

 

Walaupun Tinjauan Aktiviti 2026–2028 Petronas menunjukkan prospek yang lebih sederhana bagi aktiviti penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM), DEHB dilihat berada pada kedudukan yang baik, terutamanya dengan Sarawak menyumbang kira-kira 78% daripada buku pesanan bernilai RM4.9 bilion setakat 3Q25.

 

Pemulihan pendapatan daripada segmen OSV juga dijangka dipacu oleh peningkatan ketersediaan kapal di Perdana Petroleum, selepas selesai aktiviti dok kering pada 2025. 

 

Selain itu, tender pemasangan dan pentauliahan (HUC) yang sedang berjalan serta projek penyahoperasian yang belum dianugerahkan berpotensi memberikan peningkatan tambahan kepada pendapatan.

 

Dari sudut penilaian, DEHB kini diniagakan pada paras bawah julat nisbah P/E sejarah 12 tahun, dengan nisbah P/E 2026F tidak termasuk tunai sekitar 6.2 kali serta menawarkan hasil dividen 2026F sebanyak 6.4%. 

 

Sehubungan itu, CGSI mengekalkan saranan TAMBAH dengan harga sasaran RM2.10.

 

Walaupun persekitaran operasi kekal mencabar susulan ketidaktentuan rundingan Petronas–Petros, asas perniagaan DEHB dilihat kekal kukuh, disokong oleh francais penyelenggaraan medan matang yang khusus. 

 

Risiko utama termasuk kelewatan aliran kerja serta hasil rundingan yang kurang memberangsangkan. - DagangNews.com