KUALA LUMPUR 16 Mac – Struktur industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia terlalu berpecah dan bergantung kepada perbelanjaan modal (capex) PETRONAS, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut dalam nota analisisnya berkata, situasi berkenaan terus menjadi kekangan utama daya saing sektor minyak dan gas (O&G) kerana sifat terhad ekosistem tempatan itu sendiri.
Ia masih didominasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bergantung kuat kitaran capex huluan PETRONAS, menjadikan keterlihatan pendapatan industri sangat terikat dengan syarikat minyak itu.
"Justeru, kami mengekalkan penarafan 'underweight' terhadap sektor ini, walaupun saluran pelaburan PETRONAS memberi sokongan aktiviti jangka pendek kepada penyedia OGSE," kata TA Securities lagi.
Keadaan berkenaan merangkumi kira-kira 3,765 syarikat, mengakibatkan ketidakcekapan struktur dalam rantaian bekalan domestik yang dikhuatiri mengehadkan penciptaan nilai mampan jangka sederhana.
Menurut TA Securities, ekosistem OGSE Malaysia, dengan 1,883 syarikat daripadanya merupakan pemain teras yang menjana hasil sekitar RM94.4 bilion serta menyokong lebih 123,000 peluang pekerjaan.
Sektor berkenaan juga tambah firma penyelidikan tersebut, menyumbang kira-kira RM39.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau sekitar 2.2% daripada keseluruhan ekonomi negara.
"Bagaimanapun, kami mendapati lebih 80% daripada pemain OGSE itu adalah PKS yang kebanyakannya pula lebih bertindak sebagai subkontraktor kepada beberapa kontraktor utama projek O&G," katanya.

Situasi ini jelas TA Securities, menyebabkan pengagihan sangat tertumpu kepada segelintir syarikat besar, dengan 25 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang menjana 56% daripada jumlah hasil industri.
Sebaliknya tambah firma itu, PKS yang mewakili kira-kira 81% syarikat dalam sektor tersebut hanya menyumbang sekitar 10% hasil berkenaan, selain mencatat margin keuntungan yang lebih rendah.
Katanya, capex PETRONAS kekal sebagai pemacu utama aktiviti OGSE tempatan kerana ia menentukan skala projek kejuruteraan, penggerudian, fabrikasi, pemasangan dan penyelenggaraan dalam industri.
"Pelaburan PETRONAS berkait rapat dengan pergerakan harga minyak mentah Brent, dengan perbelanjaan naik ketika harga minyak tinggi dan lebih terkawal ketika harganya rendah," kata TA Securities.
Selain sektor huluan, pelaburan berkaitan gas juga semakin penting dalam strategi PETRONAS memandangkan Malaysia merupakan antara pengeksport gas asli cecair (LNG) yang terbesar di dunia.
Salah satu projek utama ialah Kasawari di Sarawak yang digabungkan dengan kemudahan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), dijangka mampu meraih sehingga 3.3 juta tan karbon dioksida setahun.
Dalam masa sama jelas TA Securities, PETRONAS memperluas pelaburan dalam tenaga bersih melalui anak syarikatnya Gentari, yang memberi tumpuan kepada pelbagai aktiviti tenaga boleh diperbaharui (RE).
"Antara syarikat dalam situasi baik termasuk MISC Berhad dengan saranan 'pegang' dan harga sasaran (TP) RM8.40, dan Coastal Contracts Berhad yang diberi penarafan 'beli' dengan TP RM1.97," katanya.
Di samping itu, syarikat lain yang berpotensi mendapat manfaat peluang global termasuk Yinson Holdings Berhad dan Bumi Armada Berhad, dengan rantaian kukuh nilai infrastruktur tenaga. - DagangNews.com








