Dasar progresif, lonjakan permintaan korporat kukuhkan pertumbuhan sektor RE - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dasar progresif, lonjakan permintaan korporat kukuhkan pertumbuhan sektor RE - Maybank IB

Gambar hiasan TNB Renewables Sdn Bhd
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Sept – Sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) Malaysia dijangka memasuki fasa pertumbuhan pesat, disokong oleh kombinasi dasar kerajaan yang mesra hijau, permintaan korporat yang melonjak, serta aliran tender dan projek berskala besar yang semakin rancak, menurut penganalisis industri.

 

Maybank IB berkata, pengumuman terbaharu pengurangan Caj Akses Sistem (SAC) oleh Suruhanjaya Tenaga pada 29 Ogos di bawah program CRESS dan CREAM, dijangka menjadi pemangkin penting dalam meningkatkan daya saing penyelesaian tenaga hijau untuk pengguna industri dan komersial.

 

“Pengurangan SAC mengurangkan kos pelaksanaan bagi perjanjian tenaga korporat (PPA), sekali gus membuka ruang luas kepada syarikat besar – terutamanya pusat data – untuk beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui,” kata firma itu dalam laporan sektor terkini.

 

Inisiatif ini kata firma itu hadir seiring dengan struktur tarif elektrik baharu yang bermula 1 Julai, serta sasaran kerajaan untuk mencapai 70% campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, berbanding sekitar 29% ketika ini.

 

Peluang projek baharu dalam sektor ini terus berkembang pesat. Suruhanjaya Tenaga baru-baru ini telah mengumumkan senarai pendek bagi 13 pembida untuk tender LSS5+ (2GW), termasuk syarikat-syarikat utama seperti Solarvest, Malakoff, YTL Power, Cypark, dan Samaiden.

 

Selain itu, tender pertama bagi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang ditutup pada Julai lalu dijangka diumumkan pada Oktober 2025, dengan kapasiti 400MW/1,600MWh.

 

BESS dilihat sebagai komponen penting untuk menstabilkan sistem tenaga berasaskan solar.

 

“Gabungan projek solar berskala besar dan BESS akan membuka aliran kerja kejuruteraan dan penyelenggaraan yang stabil, disamping peluang pendapatan berulang untuk kontraktor tempatan,” tambah laporan itu.

 

Maybank IB kekal meletakkan Solarvest Holdings Bhd (SOLAR MK) sebagai syarikat pilihan utama dalam sektor ini, disokong oleh buku pesanan bernilai RM1.18 bilion, serta portfolio projek termasuk 0MW Loji Solar Berskala Besar (LSS4), 90MW Program Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CGPP), 60MW LSS5 dan 30MW projek solar di Brunei.

 

Langkah strategik melibatkan pelaburan dalam SIW Manufacturing dan Kee Ming Electricalturut  memperkukuh rantaian bekalan dan keupayaan teknikal syarikat itu sekali gus mewujudkan integrasi menegak yang lebih efisien.

 

Penilaian Premium Masih Wajar

 

Walaupun saham pemain RE kini diniagakan pada penilaian PE melebihi 20 kali, penganalisis percaya penilaian premium ini adalah munasabah disokong oleh faktor-faktor seperti berikut:

 

* Ketampakan pendapatan yang lebih tinggi


* Pulangan dalaman pelaburan (IRR) yang menarik: 7–8% untuk solar, berpotensi naik ke 9–11% dengan BESS


* Permintaan korporat yang semakin bertumbuh


* Sokongan dasar kerajaan yang konsisten

 

“Dengan hala tuju jelas ke arah tenaga hijau, sektor RE Malaysia berada di landasan kukuh untuk mencatat pertumbuhan mampan dalam dekad akan datang,” kata firma itu.

 

Sektor tenaga boleh diperbaharui kini bukan sekadar alternatif, tetapi menjadi komponen strategik dalam pelan perindustrian dan tenaga negara.

 

Sehubungan itu Maybank IB menjangkakan para pelabur terus menumpukan perhatian kepada pemain utama sektor ini yang mampu memberikan pendapatan stabil serta pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com