Dana RM12 juta milik Sapura Energy disyaki disalah guna akan dilucut hak - SPRM  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dana RM12 juta milik Sapura Energy disyaki disalah guna akan dilucut hak - SPRM 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melucut hak dana berjumlah RM12 juta milik Sapura Energy Bhd (SEB), yang kini dikenali sebagai Vantris Energy Bhd , selepas ia disyaki disalahgunakan oleh pihak tertentu pada tahun 2018.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata perkara itu diputuskan selepas pihaknya bersama Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mencapai persetujuan untuk melaksanakan proses berkenaan.

 

"Maka SPRM dengan persetujuan TPR akan membuat pemulihan RM12 juta tersebut dalam tempoh terdekat. Wang itu akan dilucut hak dan dikembalikan kepada kerajaan.

 

 

 

 

 

 

 

“Pihak TPR akan mempertimbangkan sama ada akan ada pertuduhan atau sebaliknya terhadap mana-mana pihak,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

 

Kes berkenaan berlaku pada 2018 iaitu ketika Permodalan Nasional Bhd (PNB) membuat suntikan dana ke dalam SEB sehingga menjadikan syarikat itu sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

Beliau sebelum ini memaklumkan SPRM sedang menyiasat dakwaan salah guna dana berjumlah RM12 juta melibatkan SEB.

 

"Satu lagi kes (SEB) yang disiasat melibatkan (aset) daripada luar negara masih lagi dijalankan," katanya. 

 

Untuk rekod, SapuraCrest bergabung dengan Kencana Petroleum Bhd pada tahun 2012 bagi membentuk SapuraKencana Petroleum Bhd, sebelum ditukar nama kepada Sapura Energy Bhd pada tahun 2017.

 

Azam mengesahkan bahawa kedua-dua siasatan – satu berkaitan penyalahgunaan dana RM12 juta dan satu lagi melibatkan dakwaan rasuah oleh syarikat asing – adalah antara siasatan aktif SPRM terhadap syarikat tersebut.

 

Sementara itu, Azam berkata sembilan lagi individu akan didakwa dalam kes pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan projek Lebuh Raya MEX II.

 

 

 

 

 

 

 

Tanpa mendedahkan identiti mereka, beliau berkata semua individu terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan transaksi kewangan bersama Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

 

Semalam, TPR SPRM Datuk Ahmad Akram Gharib mengesahkan Abu Sahid akan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam dalam masa terdekat, atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan dana membabitkan projek sama. - DagangNews.com