Dana kekayaan Sarawak diberi kelulusan teroka pelaburan global, kata Abang Jo | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dana kekayaan Sarawak diberi kelulusan teroka pelaburan global, kata Abang Jo

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mei — Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk meneruskan penerokaan dalam pelaburan global, kata Tan Sri Abang Johari Openg.


Premier Sarawak itu berkata, kebenaran tersebut menandakan satu lagi langkah penting dalam kepelbagaian portfolio untuk pertumbuhan dana baharu berkenaan, yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada tahun lepas.


Tambah beliau, proses pemilihan sejumlah pengurus dana luar yang akan bertanggungjawab ke atas operasi pelaburan tersebut sedang dijalankan.


"Ia membuka pintu kepada peluang antarabangsa yang akan membantu memaksimumkan pulangan jangka panjang untuk Sarawak dan rakyatnya," kata Abang Johari dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.


Beliau berkata kumpulan pertama, yang akan memberi tumpuan kepada pelaburan pendapatan tetap, kini berada di peringkat akhir pelantikan, dengan lebih banyak kelas aset akan diuruskan melalui fasa akan datang.


"Fokus kami kekal pada pemeliharaan modal sambil meletakkan asas untuk pertumbuhan jangka panjang secara mampan, dan memastikan dana itu menjadi sumber berkekalan bagi generasi masa depan rakyat Sarawak," tambahnya.


Sementara itu, menyentuh isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu, Abang Johari berkata, ia akan dirancang untuk menampung sejumlah 15 juta penumpang setiap tahun dan dilengkapi dengan sistem canggih.


Penambahbaikan itu demi memastikan pengalaman penumpang yang lancar dari daftar masuk hingga menaiki pesawat selain berfungsi sebagai hab penerbangan bersepadu, dengan semua terminal dan bangunan sokongan saling bersambung.


"Susun atur ini akan meningkatkan kecekapan operasi dan memupuk sinergi yang lebih kukuh merentas keseluruhan ekosistem industri penerbangan," katanya.


Abang Johari memberi jaminan, pembangunan lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam di Kuching tidak akan dibiayai oleh kerajaan negeri semata-mata tetapi turut melibatkan pelaburan daripada sektor swasta.


Beliau berkata beberapa syarikat multinasional dan antarabangsa tempatan telah menyatakan minat untuk menerajui projek infrastruktur berkenaan. - DagangNews.com