KUALA LUMPUR 11 April — East West One Group (EWOG) menyifatkan dakwaan kononnya berlaku kelewatan dalam pengeluaran dana yang diluluskan untuk latihan Pemulihan dan Penstrukturan Semula (R&R) adalah tidak benar serta mengelirukan.
Syarikat tersebut berkata, tiada keperluan undang-undang di bawah Akta Skim Faedah 2016 (ISA 2016) yang mewajibkan pemfailan atau penyerahan Surat Ikatan Amanah Tambahan (STD) dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Sehubungan itu, EWOG memperbetulkan beberapa maklumat tidak tepat yang dikeluarkan oleh Pacific Trustees Berhad (PTB) dalam kenyataan pada 8 April 2025, berhubung isu berkenaan dengan turut memaklumkan penjelasan daripada SSM sendiri.
"Kami sendiri ada menerima surat SSM yang bertarikh 14 Februari 2025 dengan jelas menyatakan bahawa di bawah Akta Skim Faedah 2016, tiada syarat pendaftaran untuk penyerahan STD yang dilengkapkan," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu EWPG menjelaskan, kandungan dokumen STD berkenaan sebenarya tidak akan direkodkan atau dipaparkan dalam pangkalan data SSM.
PTB baru-baru ini mendakwa ada "kekurangan dokumen sokongan" sebagai punca di sebalik kelewatan berterusan mereka dalam mengeluarkan dana yang diluluskan.
Bagaimanapun, EWOG mengesahkan bahawa semua dokumentasi yang diperlukan sememangnya telah diserahkan pada Januari 2025, sejurus selepas permintaan PTB.
Pihak pengurusan EWOG menekankan, resolusi diluluskan ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 12 Ogos 2024, dan STD yang dilaksanakan kemudiannya, membenarkan pengeluaran keseluruhan dana tanpa dokumentasi tambahan.
"Walaupun tiada kewajipan undang-undang untuk menyediakan dokumen lanjut, EWOG dengan rela hati menyediakan bahan yang diminta dengan suci hati, mematuhi prinsip ketelusan dan tadbir urus korporat," katanya.
EWOG percaya, PTB hanya menggunakan dokumentasi tersebut sebagai alasan lain untuk melengahkan lagi urusan pengeluaran dana untuk dua latihan berkenaan.
Sehubungan itu, tindakan PTB bahawa SSM pula mesti menarik balik arahan terdahulunya secara rasmi sebelum dana boleh dikeluarkan adalah tidak tepat, mengelirukan dan diputarbelitkan.
EWOG menekankan bahawa PTB, sebagai pemegang amanah, berkewajipan dan bertanggungjawab membenarkan menyelesaikan latihan R&R mengikut jadual dengan segera serta melepaskan semua dana yang diluluskan tanpa kelewatan tidak wajar.
Penahanan berterusan dana ini katanya, meletakkan risiko lebih tinggi untuk kerugian selanjutnya dan akan menjejaskan pelan pemulihan ladang akibat peningkatan kos dan kerugian kepada nilai pelaburan untuk semua penanam terlibat.
"EWOG kekal komited sepenuhnya untuk kepentingan terbaik penanam dan akan terus meneruskan semua tindakan yang perlu, termasuk proses undang-undang, bagi mempercepat dan memaksa pengeluaran dana dipegang oleh PTB," katanya. - DagangNews.com








