KUALA LUMPUR 16 April – DagangHalal, pengendali platform e-dagang halal B2B menjalin kerjasama strategik dengan Comasia Limited bagi penganjuran Mega Halal Bangkok 2026 yang akan berlangsung di Thailand.
Kerjasama itu menyaksikan DagangHalal memainkan peranan penting dalam ekosistem pameran tersebut apabila diberi tanggungjawab untuk menarik pembeli global serta dilantik sebagai ejen jualan ruang pameran rasmi bagi pasaran Malaysia, China dan Jepun.
Menurut syarikat itu, penglibatan berkenaan meletakkan DagangHalal dalam kedudukan strategik untuk memperkukuh aktiviti perdagangan halal rentas sempadan, selain mengukuhkan peranan sebagai pemudah cara hubungan antara pembekal dan pembeli antarabangsa.
Mega Halal Bangkok 2026 dijangka berlangsung dari 15 hingga 17 Julai 2026 di Queen Sirikit National Convention Center (QSNCC), Bangkok, dengan penyertaan lebih 400 pempamer dan 15,000 pengunjung dari lebih 70 negara.
Pameran itu dilihat sebagai platform perdagangan halal global yang mempunyai kedudukan strategik, khususnya sebagai pintu masuk ASEAN yang menghubungkan pasaran Asia Timur, Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Pihak penganjur turut memperkenalkan Program Penajaan Pembeli Antarabangsa bagi meningkatkan kualiti padanan perniagaan, termasuk insentif seperti penginapan hotel dua malam atau subsidi tunai AS$200 kepada pembeli yang layak.
DagangHalal berkata kerjasama ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengembangan penyertaan pempamer, tetapi juga meningkatkan kualiti interaksi perniagaan di pameran tersebut melalui kehadiran pembeli yang lebih berkelayakan.
Dalam masa sama, syarikat itu turut mempromosikan Halal Internal Assurance System (HIAS) sebagai penyelesaian digital yang membantu syarikat mematuhi keperluan pensijilan halal dan piawaian keselamatan makanan.
HIAS dibangunkan berasaskan tiga teras utama iaitu Compliance, Traceability dan Intelligence, serta menyokong pelbagai standard antarabangsa termasuk HAS, GMP, HACCP, ISO dan ESG bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan eksport syarikat.
Dengan gabungan akses perdagangan fizikal melalui Mega Halal Bangkok 2026 dan penyelesaian digital melalui HIAS, DagangHalal berkata ia sedang membina ekosistem perdagangan halal bersepadu yang menyokong pembangunan industri halal global yang dianggarkan bernilai sekitar AS$3.27 trilion. - DagangNews.com








