KUALA LUMPUR 11 Julai – Curlec, penyedia sistem pembayaran berasaskan teknologi kini membolehkan peniaga e-dagang menawarkan ShopBack Pay sebagai pilihan transaksi kepada enam juta pengguna di Malaysia.
Kerjasama itu bakal memberi nilai tambah kepada pembeli dalam bentuk pulangan tunai, promosi dan insentif lain dalam memenuhi trend perbelanjaan pengguna yang semakin berhemah ketika ini.
Ketua Curlec Malaysia, Kevin Lee berkata, gabungan sistem pembayaran Curlec dan jutaan pengguna aktif ShopBack akan merancakkan lagi industri perniagaan tempatan dengan capaian pelanggan yang lebih meluas dan pengalaman daftar keluar yang lancar.
"Sebagai sebahagian daripada pelancaran ini, pengguna baharu ShopBack Pay akan menerima diskaun RM15 tanpa perbelanjaan minimum apabila membuat pembayaran di mana-mana kedai dalam talian yang disepadukan dengan Curlec," katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pihak beranggapan kerjasama itu tepat pada waktunya kerana kajian baharu mendapati 61% pengguna di Asia aktif mencari diskaun dan ganjaran semasa merancang pembelian dalam talian akibat peningkatan kos sara hidup.
Pemilik perniagaan yang mengambil bahagian akan mendapat kelebihan seperti mudah dilihat dalam aplikasi ShopBack, akses kepada kempen yang disasarkan serta promosi eksklusif.
Ketika ini, Curlec memiliki lebih 3,000 perniagaan tempatan dan berhubung dengan rangkaian global Razorpay yang merangkumi lebih 10 juta peniaga di seluruh dunia.
Sementara itu, Pengurus Besar ShopBack Malaysia, Vincent Wong berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada pihaknya untuk memberi nilai tambah kepada pengguna dan peniaga dalam transaksi jual beli yang lebih pintar dan menguntungkan. - DagangNews.com








