Cukai rokok, arak dinaikkan mulai November 2025 dengan hasil tambahan disalur kepada Kementerian Kesihatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cukai rokok, arak dinaikkan mulai November 2025 dengan hasil tambahan disalur kepada Kementerian Kesihatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Duti eksais terhadap produk rokok dan minuman keras dinaikkan berkuat kuasa 1 November 2025 sebagai langkah mengurangkan jumlah perokok dan menggalakkan gaya hidup sihat.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar duti eksais bagi rokok meningkat sebanyak dua sen bagi setiap batang, manakala cigar, cheroot dan cigarillos dinaikkan RM40 sekilogram. 

 

Selain itu, beliau berkata, produk tembakau yang dipanaskan (heated tobacco) turut dikenakan kenaikan RM20 sekilogram kandungan tembakau.

 

"Pada masa yang sama, kerajaan memanjangkan pengecualian duti import dan cukai jualan bagi produk terapi gantian nikotin — termasuk nicotine mist dan nicotine lozenges — sehingga 31 Disember 2027, bagi menyokong usaha peralihan kepada alternatif yang lebih selamat.

 

"Bagi mengurangkan akses terhadap minuman beralkohol, kadar duti eksais bagi produk minuman keras dinaikkan sebanyak 10% bermula tarikh yang sama.

 

"Hasil tambahan daripada kenaikan cukai rokok dan minuman keras akan diagihkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membiayai Inisiatif Kesihatan Paru-Paru, selain rawatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan jantung," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, Selaras dengan prinsip “mencegah lebih baik daripada mengubati”, kerajaan turut mencadangkan agar perbelanjaan vaksin yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan individu diperluas kepada semua jenis vaksin yang didaftar dan diluluskan oleh KKM.

 

Katanya, langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh kerajaan memperkukuh kesihatan awam dan mengurangkan beban penyakit berkaitan gaya hidup dalam jangka panjang.- DagangNews.com