Cukai Pintu Pulau Pinang naik antara 29% hingga 200% mulai 2026 - Chow Kon Yeow  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cukai Pintu Pulau Pinang naik antara 29% hingga 200% mulai 2026 - Chow Kon Yeow 

Oleh Muhammad Iman

GEORGE TOWN Sept 19 – Pulau Pinang akan menaikkan kadar cukai tanah (quit rent) antara 29% hingga 200% bagi pelbagai kategori tanah bermula tahun 2026.

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah ini dijangka memberi kesan kepada 370,000 pemilik tanah di seluruh negeri.

 

Beliau memaklumkan kenaikan itu dibuat selepas semakan semula serta pengelasan semula sempadan bandar dan kampung di negeri tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

“Kadar baharu ini berkuat kuasa mulai Januari 2026 selepas pewartaan semula dilakukan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar, hari ini.

 

 

 Chow Kon Yeow
                                         Chow Kon Yeow

 


Chow menjelaskan, kadar cukai kediaman di kawasan bandar meningkat daripada 54 sen kepada 70 sen semeter persegi dengan bayaran minimum RM70 setiap lot, manakala di kawasan luar bandar meningkat daripada 22 sen kepada 50 sen semeter persegi dengan bayaran minimum RM50 setiap lot.

 

“Ini bermakna semua pemilik tanah kediaman berkeluasan kurang daripada 100 meter persegi atau 1,076 kaki persegi akan dikenakan kadar minimum RM70 setahun di kawasan bandar, atau RM50 setahun di luar bandar.

 

“Kadar minimum ini termasuk rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah serta sebahagian skim perumahan mampu milik atau Rumah Mutiaraku di Pulau Pinang,” jelasnya.

 

Bagi tanah kategori industri, kadar baharu meningkat daripada RM1.29 kepada RM3.25 semeter persegi tanpa mengira lokasi bandar atau luar bandar.

 

Kadar untuk perniagaan pula meningkat kepada RM3.25 semeter persegi di bandar dan RM2.80 semeter persegi di luar bandar, dengan bayaran minimum antara RM280 hingga RM325 bagi keluasan tanah kurang daripada 100 meter persegi.

 

Bagi tanah pertanian, kadar baharu ditetapkan antara RM15 hingga RM120 sehektar bergantung kepada jenis tanaman, manakala ladang durian dikenakan kadar khas RM800 sehektar.

 

Untuk penternakan, kenaikan baharu antara RM250 hingga RM750 sehektar.

 

Beberapa kategori khas turut diperkenalkan termasuk padang golf (RM2,500 sehektar), kuari (RM3.25 semeter persegi), tanah kerajaan persekutuan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (RM0.54 semeter persegi), serta kadar nominal RM50 setiap lot bagi masjid, rumah ibadat bukan Islam dan tanah perkuburan.

 

“Kadar baharu bagi rumah kampung juga diperkenalkan iaitu RM50 setiap lot,” tambahnya.

 

Chow berkata, semakan kadar ini sudah lama tertangguh kerana kali terakhir dilakukan ialah 31 tahun lalu.

 

“Semakan ini dibuat selepas kerajaan negeri melakar semula 10 sempadan bandar serta mewartakan 25 kawasan berimpak tinggi sebagai bandar, berbanding sebelum ini dikategorikan sebagai kampung atau luar bandar,” jelasnya.

 

 

 

 

 

 

 

Antara 10 kawasan bandar yang diperluas ialah Bayan Lepas, Balik Pulau, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, George Town, Bukit Mertajam, Sungai Bakap, Nibong Tebal, Kepala Batas dan Butterworth.

 

Manakala 25 kawasan baharu diwartakan sebagai bandar ialah Bayan Baru, Batu Maung, Sungai Ara, Pulau Silikon, Bukit Jambul, Puncak Penara, Perdana Mutiara, Pinang Emas, Bayu Emas, Lembah Perai, Alma, Bukit Minyak, Bukit Tengah, Bandar Perda, Seberang Jaya, Jawi, Bandar Cassia, Simpang Ampat, Bandar Tasek Mutiara, Sungai Dua, Teluk Air Tawar, Bertam, Tasek Gelugor, Pokok Sena dan Ara Kuda. - DagangNews.com