KUALA LUMPUR 10 April – Cuckoo International (MAL) Berhad (Cuckoo Malaysia) mengumumkan dividen satu peringkat akhir sulung 1.84 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Syarikat itu berkata, jumlah pembayaran dividen sebanyak RM26.36 juta, bersamaan 25.1% daripada keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM105.21 juta yang dicatatkan bagi tempoh tersebut.
Menurutnya, pengagihan itu melebihi sasaran dasar dividennya iaitu minimum 20% daripada keuntungan bersih boleh agih, dan mencerminkan komitmen berterusan dalam pulangan kepada pemegang saham.
"Dividen akhir tersebut dijadualkan dibayar pada 15 Mei 2026 kepada pemegang saham yang tersenarai dalam Rekod Pendeposit setakat 27 April 2026," kata Cuckoo Malaysia dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoe Kian Choon berkata, kadar pulangan yang besar itu mengimbangi keperluan pembiayaannya untuk menyokong operasi inisiatif pertumbuhan masa hadapan.
Ia turut didorong prestasi keuntungan dan kekuatan aliran tunai syarikat yang membolehkan lembaga pengarah dapat meluluskan pembayaran dividen lebih tinggi daripada dasar ditetapkan kumpulan itu.
“Dividen ini turut mencerminkan komitmen kami untuk mengembalikan nilai kepada pemegang saham sambil mengekalkan disiplin dalam peruntukan modal,” kata beliau dalam kenyataan berkenaan.
Tambahnya, Cuckoo Malaysia turut akan terus mengekalkan keseimbangan antara agihan kepada pemegang saham dan aktiviti pelaburan semula bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat tersebut.
Pendekatan ini ujar beliau memperkukuh model perniagaan berasaskan sewaan dan rumusan kediaman sihat, dengan dipacu perkhidmatan serta kekuatan kewangan. - DagangNews.com








