KUALA LUMPUR 25 April — CTOS Digital Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM14.44 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), penyusutan 30.64 peratus berbanding RM20.82 juta pada suku tahun lalu.
Kemerosotan berkenaan turut memberi kesan terhadap pendapatan sesaham firma pelaporan kredit tersebut apabila menurun kepada sebanyak 0.6 sen daripada 0.9 sen yang direkodkan pada suku perbandingan 2024.
Bagaimanapun, ia merekodkan peningkatan pendapatan 6.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada 1QFY25 kepada sebanyak RM76.07 juta, dengan sumbangan lebih tinggi daripada segmen akaun terus kepada pengguna dan akaun utama.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CTOS Digital, Erick Hamburger berkata, kumpulan itu terus menyaksikan peningkatan dalam hasilnya di tengah-tengah peluang pertumbuhan yang meluas di dalam dan luar negara.
"Institusi kewangan semakin mencari data serta alat lebih canggih untuk analisis kredit, dan situasi ini menyokong permintaan berterusan ditawaran kumpulan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, inovasi kekal sebagai teras kepada strategi syarikat itu dan beberapa peningkatan produk serta rumusan baharu bakal dilancarkan pada 2025, mengukuhkan lagi komitmen terhadap peningkatan penciptaan nilai.
Kumpulan tersebut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.44 sen sesaham, debgan tarikh matang ditetapkannya pada 25 Jun 2025 manakala pembayaran kepada pemegang sahamnya pula bermula 23 Julai 2025.
Sementara itu, CTOS Digital melantik Loh Kok Leong sebagai CEO kumpulan sementara mulai 1 Mei 2025, menggantikan Hamburger dalam strategi korporat untuk fasa peralihan kepimpinan yang dirancang dengan teliti.
Hamburger akan bercuti dari 1 Mei 2025 hingga 30 September 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia mengumumkan perletakan jawatan Hamburger daripada lembaga pengarah dan berkata bahawa pengunduran tersebut untuk beliau meneroka peluang kerjaya baharu.
Pelantikan CEO berikutnya dibuat apabila firma itu berkata ia telah memulakan satu siri inisiatif pengoptimuman kos untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengagihkan semula sumber dengan lebih berkesan.
"Walaupun akan direalisasikan secara progresif, kami menjangkakan dapat melihat peningkatan dalam nisbah kos kepada pendapatan syarikat pada suku akan datang," kata Hamburger.
Langkah-langkah itu tambah beliau, mencerminkan komitmen kumpulan untuk mengekalkan disiplin kewangan sambil terus melabur dalam bidang pertumbuhan strategik. - DagangNews.com








