KUALA LUMPUR 9 Julai – Syarikat pengeluar dan pengedar baja, Cropmate Bhd dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan sebanyak 3% pada tahun kewangan 2025 (FY25), disokong oleh harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi serta kos pengeluaran yang stabil, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan margin keuntungan kasar melebihi 15% Cropmate, didorong oleh model harga berasaskan kos dan keupayaan syarikat itu melaraskan perubahan harga bahan mentah dalam tempoh satu hingga dua minggu.
"Kos pengeluaran telah kembali normal kepada RM1,121 per tan pada FY24, turun daripada lebih RM1,500 per tan pada FY22–FY23, susulan penyusutan harga tenaga pasca konflik Rusia-Ukraine," kata MIDF dalam satu nota kajiannya.
Firma itu juga mengunjurkan dividen sebanyak 0.5 sen sesaham bagi FY25, berdasarkan polisi pembayaran dividen sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan bersih, bersamaan dengan hasil dividen 2.9%.
Cropmate turut dijangka meraih manfaat daripada pengukuhan kehadiran pasaran dengan baja konvensional menyasar ladang kelapa sawit dan produk khas untuk pokok durian matang dan belum matang di seluruh negara.
Firma itu meletakkan nilai saksama pada 20 sen sesaham berdasarkan nisbah harga perolehan (PER) sebanyak 12 kali, dengan unjuran pendapatan sesaham FY25 pada 1.7 sen.
Cropmate merekodkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM11.9 juta bagi FY24, seiring peningkatan hasil sebanyak 6% kepada RM160 juta, didorong oleh ASP sebanyak RM1,374 per tan, jumlah jualan kira-kira 117,000 tan, serta kos pengeluaran yang lebih rendah.
Dengan empat barisan pengeluaran, syarikat itu mempunyai kapasiti tahunan 150,000 tan untuk baja kompak dan separa organik, serta 64,000 tan bagi baja campuran dan organik.- DagangNews.com








