Country Garden Pacificview, Oriental Holdings meterai MoU bangunkan fasiliti penjagaan kesihatan RM750 juta di Forest City | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Country Garden Pacificview, Oriental Holdings meterai MoU bangunkan fasiliti penjagaan kesihatan RM750 juta di Forest City

Gambar/ Facebook Oriental Holdings Bhd
Oleh Hamden Ramli

ISKANDAR PUTERI 10 Sept – Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) dan Oriental Holdings Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan sebuah fasiliti penjagaan kesihatan bernilai RM750 juta di Forest City.

 

Fasiliti hospital yang dicadangkan itu bakal menjadi destinasi penjagaan kesihatan serantau, menawarkan perkhidmatan pelbagai kepakaran termasuk onkologi, perubatan geriatrik dan respiratori, serta pembedahan kolorektal dan bedah saraf, selain ortopedik.

 

Antara perancangan lain termasuk kemudahan diagnostik lanjutan, pusat terapi kanser, serta program kesihatan dan pemulihan.

 

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Oriental Holdings, Datuk Seri Tan Hui Jing berkata, projek ini mencerminkan komitmen kumpulan terhadap kecemerlangan klinikal dan inovasi dalam bidang perubatan.

 

“Fasiliti ini bakal menawarkan rangkaian perkhidmatan perubatan yang menyeluruh dengan sasaran menarik pesakit domestik dan antarabangsa, sekali gus memposisikan Johor sebagai hab pelancongan perubatan serantau,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Md Othman Yusof berkata, inisiatif ini akan memperkukuh daya tarikan Forest City sebagai destinasi bersepadu yang menyatukan gaya hidup dan kesejahteraan.

 

“Kerjasama ini membawa kemudahan penjagaan kesihatan penting lebih dekat kepada komuniti tempatan, di samping meningkatkan peranan Forest City sebagai hab yang berhubung baik dalam perkhidmatan gaya hidup dan kesihatan,” ujarnya.

 

Majlis menandatangani MoU tersebut telah berlangsung di Hotel Marina Forest City dan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon.

 

Fasiliti yang dicadangkan ini merupakan kolaborasi strategik antara CGPV – pemaju bandar pintar Forest City seluas 30 kilometer persegi – dan Oriental Holdings, pemilik Oriental Melaka Straits Medical Centre, sebuah hospital penjagaan tersier 300 katil.

 

Projek ini dijangka akan memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat daripada rakyat Malaysia, warga Singapura dan juga pesakit antarabangsa yang mencari perkhidmatan perubatan khusus dan berkualiti tinggi di Iskandar Malaysia. - DagangNews.com