Citaglobal teroka pembangunan infrastruktur telekomunikasi, RE di Jawa Timur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Citaglobal teroka pembangunan infrastruktur telekomunikasi, RE di Jawa Timur

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Mei — Citaglobal Berhad meneroka pembangunan infrastruktur telekomunikasi dan tenaga boleh diperbaharui (RE) di rangkaian hospital, sekolah dan universiti kendalian Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Jawa Timur (PWMJT) di wilayah berkenaan.


Kumpulan tersebut berkata, projek itu merangkumi sasaran awal bagi pelaksanaan perintis kira-kira 250 menara telekomunikasi serta kapasiti tenaga solar sebanyak 5 megawatt (MW) di beberapa buah premis perubatan dan institusi pendidikan PMJT. 


Usaha strategik itu, hasil pemeteraian Perjanjian Induk (HOA) antara anak syarikat kumpulannya, PT Citaglobal Internasional Capital (CGIC) di Jakarta, Indonesia semalam bagi tempoh selama setahun serta boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama.


"HOA hasil inisiatif perintis ini bertujuan meningkatkan capaian digital dan tenaga bersih dalam ekosistem institusi PWMJT, sekali gus menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang yang lebih meluas," katanya dalam satu kenyataan bersama.


Kedua-dua pihak menyasarkan untuk menyiapkan kajian kemungkinan berkaitan serta memulakan pelaksanaan projek sulung itu dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian dimeterai, yang tertakluk kepada penilaian teknikal dan komersial.


Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, Indonesia merupakan pasaran pertumbuhan utama rantau ASEAN, dan mereka komited untuk dapat memainkan peranan jangka panjang dalam transformasi prasarana.

 

citaglobal
PEMETERAIAN perjanjian disaksikan Mohamad Norza Zakaria (kiri sekali) dan Setiausaha PWMJT, Prof Dr Biyanto (kanan sekali) dengan ditandatangani oleh Presiden Pesuruhjaya CGIC, Aimi Aizal Nasharuddin (dua dari kiri) dan Dr Sukadiono (dua dari kanan). - Foto ihsan Citaglobal


Jawa Timur katanya, dengan populasi melebihi 44 juta, menawarkan platform institusi kukuh dan titik permulaan signifikan untuk memasuki pasaran Indonesia yang lebih luas serta ada potensi memperkasa masyarakat dan mencipta impak berkekalan


"Menerusi kerjasama sebegini, kami memperkenalkan rumusan infrastruktur yang menggabungkan telekomunikasi, RE dan pengurusan fasiliti berdasarkan akar tempatan pada nilai sosial serta mantap dari sudut teknikal," katanya.


Sementara itu, Pengerusi PWMJT, Dr Sukadiono berkata, pihaknya memilih untuk bekerjasama dengan Citaglobal kerana memiliki rekod pencapaian dalam menyediakan infrastruktur yang mencerminkan profesionalisme dan matlamat secara jelas.


Kerjasama itu katanya berteraskan nilai bersama dengan bukan sekadar membawa teknologi ke dalam institusi PMWJT, tetapi mempertingkatkan cara menyampaikan khidmat kepada masyarakat menerusi sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan.


"Kami percaya kerjasama ini mengukuhkan peranan Muhammadiyah menyokong rakyat secara relevan dengan keperluan semasa serta merangka model pelaksanaan responsif terhadap keperluan setempat, selari matlamat jangka panjang," katanya.


PWMJT ketika ini mengurus lebih 3,000 institusi di seluruh wilayah Jawa Timur, termasuk lebih 1,000 sekolah, hampir 100 kemudahan kesihatan, 16 institusi pengajian tinggi serta lebih 2,600 fasiliti keagamaan dan perkhidmatan sosial.


Kenyataan itu berkata, skala dan kepelbagaian rangkaian ini menyediakan platform kukuh untuk pelaksanaan infrastruktur bersepadu serta memberi manfaat langsung kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan. - DagangNews.com