KUALA LUMPUR 1 Okt – Citaglobal Bhd mengumumkan kerajaan Kyrgyzstan telah mengenal pasti kawasan seluas 170 hektar di wilayah Issyk-Kul yang sesuai untuk pembangunan loji tenaga solar berkapasiti sehingga 200 megawatt (MW).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia menerima surat pemberitahuan berhubung perkara tersebut daripada Agensi Pelaburan Kebangsaan Republik Kyrgyz pada 10 September lalu.
Sehubungan itu, Citaglobal kini sedang membuat persiapan untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan bagi projek tersebut.
Pembangunan ini adalah susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) selama setahun antara Citaglobal dan Kementerian Tenaga Kyrgyzstan pada Jun lalu, yang bertujuan meneroka peluang tenaga boleh baharu (TBB), khususnya dalam pembinaan kemudahan berkaitan TBB.
MoU tersebut ditandatangani semasa lawatan Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Zhaparov, ke Malaysia, di mana beliau telah bertemu beberapa syarikat tempatan bagi membincangkan peluang kerjasama perniagaan dan pelaburan.
Sebelum ini, Citaglobal berkata MoU berkenaan adalah selaras dengan strateginya untuk mengembangkan sektor tenaga serta meluaskan jejak antarabangsa syarikat.
Bagi pihak Kyrgyzstan, negara Asia Tengah itu sedang giat melaksanakan agenda nasional untuk menjadi pengeksport tenaga bersih serantau dan hab tenaga hijau menjelang masa depan. - DagangNews.com








