CIMB Securities potong ramalan pendapatan IJM sehingga 2% pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB Securities potong ramalan pendapatan IJM sehingga 2% pada FY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Mac - Ramalan pendapatan IJM Corp Berhad untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 hingga 2027 (FY25-27) telah disemak turun sebanyak satu hingga dua peratus, menurut CIMB Securities.
 

Firma penyelidikan itu berkata, pelarasan ini berikutan pemotongan 33 peratus dalam andaian buku pesanan baharu FY25, dan menurunkan sasaran kepada RM2.7 billion setelah syarikat itu dijangka tidak mencapai sasarannya.
 

Ia turut menyemak kembali harga sasaran (TP) untuk saham IJM sebagai turun sebanyak 17 peratus daripada RM3.80 kepada RM3.26, sambil mengekalkan saranan "beli".
 

"Berbaki kurang sebulan tahun kewangan semasa, ada kemungkinan besar kumpulan itu gagal mencapai sasaran buku pesanan baharu sebanyak RM5 bilion, yang ketika ini cuma berjumlah RM2.7 billion," katanya dalam satu nota kajian.
 

Keadaan tersebut menurut CIMB Securities, sebahagian besarnya disebabkan oleh kelewatan dalam pemberian dua prospek kontrak utama iaitu projek perumahan awam Nusantara dan sambungan Lebuhraya Pantai Baru (NPE).

 

Untuk FY26, firma itu menjangkakan prospek buku pesanan IJM bertambah baik, memandangkan rundingan lanjutan NPE, yang dianggarkan menelan belanja RM1.4 bilion, mungkin selesai dalam tempoh dua bulan.


Sementara itu, projek perumahan awam IJM di Nusantara yang sedang dalam peringkat akhir kajian kemungkinan, dengan keputusan dijangka diumumkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.


Pemaju hartanah kata firma berkenaan, kelazimannya mempunyai hak pertama untuk menolak sekiranya terdapat sebarang tawaran yang bersaing.


"IJM membida beberapa projek infrastruktur awam utama, ini termasuk segmen kedua LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang (Macallum ke Penang Sentral), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, dan kerja-kerja di Sarawak," katanya.


Mengenai mandat projek daripada sektor swasta, IJM tambah CIMB Securities, masih lagi meneruskan kontrak pembinaan untuk pelbagai kilang dan gudang yang bernilai tinggi.


IJM kata firma tersebut, masih optimis terhadap pembinaan ruang pusat data walaupun berdepan dasar penyebaran teknologi kecerdasan buatan (AI) daripada kerajaan Amerika Syarikat ketika ini.


Kumpulan itu telah mengambil bahagian dalam enam bidaan besar yang bernilai kira-kira RM2 bilion setiap satu, atau sehingga RM12 bilion secara keseluruhan.
 

Keputusan tender berkenaan dijangka diumumkan dalam tempoh satu hingga dua suku tahun akan datang. - DagangNews.com