Chua Seck Guan bersara sebagai CEO MSIG Malaysia, diganti Ang Yien Chia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chua Seck Guan bersara sebagai CEO MSIG Malaysia, diganti Ang Yien Chia

Chua Seck Guan (kiri) dan Ang Yien Chia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai – MSIG Insurance (Malaysia) Bhd (MSIG Malaysia) mengumumkan persaraan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, Chua Seck Guan berkuatkuasa 2 Julai lalu.

 

MSIG Malaysia berkata, Seck Guan telah mencatatkan pelbagai pencapaian luar biasa sepanjang berkecimpung selama 42 tahun dalam industri insurans, termasuk 15 tahun menerajui MSIG Malaysia. 

 

"Bermula sebagai Penilai Kawalan Kerugian ketika syarikat dikenali sebagai NZI Insurance, beliau terus meniti tangga kerjaya melalui pelbagai peranan kepimpinan di Sabah, Sarawak, Brunei dan Semenanjung Malaysia. 

 

"Beliau turut menyaksikan transformasi besar syarikat termasuk dua penggabungan utama dan empat pengambilalihan strategik.

 

"Di luar tanggungjawab korporat, beliau juga aktif memperjuangkan kemajuan industri insurans di Malaysia dan peringkat ASEAN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Seck Guan pernah memegang jawatan penting dalam Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), mewakili industri dalam Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (JC3) dan berperanan dalam Majlis Insurans ASEAN.

 

Sumbangannya turut merangkumi pelbagai jawatan pengerusi lembaga dan penasihat dalam badan industri.

 

Di bawah kepimpinan beliau, MSIG Malaysia menikmati pertumbuhan konsisten dalam premium bertulis kasar (GWP) serta prestasi kewangan yang kukuh. 

 

Beliau memperkenalkan pelbagai produk inovatif dan memacu transformasi digital syarikat yang meningkatkan pengalaman pelanggan dan kecekapan operasi.

 

Beliau juga dilantik mengasaskan Jabatan Analitik Data syarikat bagi memanfaatkan pandangan pengguna dalam pembangunan penyelesaian harga berdasarkan risiko.

 

Sepanjang 15 tahun menerajui syarikat, MSIG Malaysia mencatatkan keuntungan penunderaitan berturut-turut, mengharungi proses penyahkawalseliaan tarif bagi kelas Motor dan Hartanah, serta membangunkan pelbagai produk inovatif termasuk produk tambahan (add-ons) yang menyumbang kepada pertumbuhan premium. 

 

Di bawah teraju beliau, syarikat menerima pelbagai pengiktirafan termasuk General Insurance Company of the Year oleh Asia Insurance Review (2015), Property and Casualty Insurer of the Year oleh InsuranceAsia News (2018), serta pelbagai Anugerah Inovasi serantau dan inisiatif mikroinsurans PTV-Mini PA.

 

Sementara itu, Seck Guan turut merakamkan penghargaan kepada ibu pejabat syarikat di Jepun, ahli lembaga pengarah, pasukan kepimpinan kanan, warga MSIG Malaysia, rakan kongsi serta pelanggan atas sokongan dan kepercayaan terhadapnya selama ini.

 

"Saya bersara dengan rasa bangga dan yakin bahawa syarikat akan terus berkembang maju di bawah kepimpinan CEO baharu," katanya.

 

Dalam pada itu, MSIG Malaysia turut mengumumkan pelantikan Ang Yien Chia sebagai CEO baharu berkuat kuasa 3 Julai lalu. 

 

Yien Chia memiliki pengalaman selama 29 tahun dalam sektor insurans am di MSIG Malaysia dan telah memainkan peranan penting dalam strategi syarikat menerusi pelbagai jawatan di Malaysia Timur dan Semenanjung. 

 

Sepanjang lapan tahun lalu, beliau merupakan anggota utama Pasukan Pengurusan Kanan, menyumbang kepada pembangunan saluran pengedaran termasuk Agensi, Bancassurance, Broker, Korporat Langsung serta Perkongsian Afiliasi.

 

Mengulas mengenai pelantikannya, beliau berkata  sangat berbesar hati untuk memikul tanggungjawab tersebut dan akan terus membina kejayaan berdasarkan asas kukuh yang telah diletakkan oleh Seck Guan. 

 

"Fokus saya adalah untuk memacu inovasi, meningkatkan kepuasan pelanggan dan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran MSIG Malaysia," katanya.

 

Bagi memastikan peralihan kepimpinan yang lancar, Seck Guan akan terus berkhidmat sebagai penasihat kanan bagi menyokong kelangsungan inisiatif strategik dan hubungan utama syarikat.-DagangNews.com