Chin Hin hentikan pelaksanaan terbitan saham persendirian selepas kumpul RM73.9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chin Hin hentikan pelaksanaan terbitan saham persendirian selepas kumpul RM73.9 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 April – Chin Hin Group Property Bhd memutuskan untuk tidak meneruskan baki pelaksanaan terbitan saham persendirian selepas tempoh pelaksanaan yang telah dilanjutkan tiga kali sebelum ini berakhir.

 

Syarikat itu berkata, dengan keputusan tersebut, ia tidak akan memohon lanjutan masa tambahan bagi melengkapkan baki kutipan dana berkenaan.

 

Chin Hin Group Property sebelum ini merancang untuk mengumpul sehingga RM105 juta melalui penerbitan sehingga 132 juta saham baharu, yang mewakili kira-kira 20 peratus daripada asas saham kumpulan yang telah diperbesarkan.

 

Pelaksanaan penempatan persendirian itu mula diumumkan pada Februari 2024 bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan serta menyokong keperluan pembiayaan projek pembangunan kumpulan.

 

Daripada jumlah sasaran tersebut, syarikat telah berjaya mengumpul RM73.9 juta melalui penerbitan 64.3 juta saham pada harga RM1.15 sesaham dalam dua tranche pelaksanaan.

 

Hasil kutipan berkenaan diperuntukkan bagi membiayai dua projek pembangunan kediaman yang dijalankan menerusi usaha sama dengan Fiamma Holdings Bhd, dengan jumlah kos pembangunan dianggarkan sekitar RM1.06 bilion.

 

Syarikat itu sebelum ini telah memperoleh tiga kali lanjutan tempoh pelaksanaan, iaitu daripada tarikh asal 23 Oktober 2024 kepada 21 April 2025, kemudian dilanjutkan lagi kepada 21 Oktober 2025, dan seterusnya kepada 21 April 2026.

 

Bagaimanapun, pada 2 April lalu, Chin Hin Group Property telah menarik balik permohonan lanjutan tambahan selama enam bulan, dengan alasan ketidaktentuan keadaan pasaran semasa serta pertimbangan terhadap pilihan pembiayaan alternatif yang lain.

 

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa ia tidak memberikan butiran lanjut berhubung keputusan untuk tidak meneruskan baki pelaksanaan tersebut, dan menganggap perkara tersebut telah selesai.- DagangNews.com