ChemOne kukuh pembiayaan projek Pengerang menerusi perlindungan takaful AS$350 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ChemOne kukuh pembiayaan projek Pengerang menerusi perlindungan takaful AS$350 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai - ChemOne Group dari Singapura, syarikat yang membangunkan Kompleks Tenaga Pengerang (PEC) di Johor, berjaya memperoleh perlindungan takaful bernilai AS$350 juta bagi menyokong pembiayaan projek tersebut.

 

Ia adalah antara kemudahan takaful pelaburan terbesar yang pernah diluluskan bagi sektor tenaga di Malaysia setakat ini.

 

Perbadanan Insurans Pelaburan dan Kredit Eksport Islam (ICIEC), anak syarikat milik penuh Bank Pembangunan Islam (IsDB), telah meluluskan perlindungan insurans itu untuk menyokong penyertaan bank-bank Islam dalam pembiayaan projek PEC.

 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan ChemOne, Mayank Vishnoi berkata, ia juga mencerminkan keyakinan institusi terhadap kekuatan kewangan dan nilai strategik jangka panjang PEC kepada rantau ini.

 

"Sokongan ICIEC adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap kekuatan kewangan serta impak pembangunan menyeluruh yang dibawa oleh PEC. 

 

"Projek ini akan merangsang pertumbuhan industri serantau, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dengan pematuhan standard global pembiayaan mampan dan bertanggungjawab. 

 

"Kami berbesar hati menerajui salah satu pembiayaan sektor swasta paling berimpak di Asia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Perlindungan ICIEC itu disusun di bawah kemudahan pembiayaan Murabahah, dengan perlindungan sehingga 90% ke atas prinsipal dan keuntungan untuk mengurangkan risiko transaksi kepada bank-bank Islam yang terlibat termasuk National Bank of Kuwait (NBK), Qatar National Bank (QNB), Al Rajhi Bank Malaysia dan Al Rajhi Bank KSA.

 

Al Rajhi Bank KSA bertindak selaku bank utama dan penyelaras kepada ICIEC serta ejen pelaburan untuk pembiayaan Islam.

 

Selain itu, Kumpulan IsDB dan Perbadanan Pembangunan Sektor Swasta Islam (ICD) turut memperkukuh komitmennya melalui pelaburan langsung bernilai AS$150 juta menggunakan struktur Istisna-Ijarah. 

 

Jumlah sokongan keseluruhan IsDB terhadap PEC kini melebihi AS$500 juta, menjadikannya antara komitmen terbesar kumpulan itu di Asia Tenggara.

 

ICIEC juga disokong oleh penarafan kredit AA dan Aa3 (Moody’s) yang mencerminkan kekukuhan kewangan dan mandat pelbagai hala untuk menggalakkan pelaburan dalam negara-negara anggota.

 

PEC diwujudkan dengan matlamat menjadi antara fasiliti tenaga dan petrokimia paling maju dan mampan di Asia Tenggara. 

 

Apabila siap kelak, ia akan meningkatkan kapasiti bekalan serantau dalam produk aromatik, bahan api bersih dan produk berkaitan, mematuhi piawaian antarabangsa dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). - DagangNews.com