CGS MY selesaikan penempatan persendirian RM94.5 juta untuk YTL Hospitality REIT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS MY selesaikan penempatan persendirian RM94.5 juta untuk YTL Hospitality REIT

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 April – CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd berjaya menyelesaikan penempatan persendirian bernilai RM94.5 juta untuk YTL Hospitality REIT di mana syarikat tersebut bertindak sebagai penasihat utama dan penaja buku tunggal bagi transaksi itu.

 

CGS MY berkata penempatan persendirian tersebut menarik minat tinggi daripada pelabur institusi, dengan sebahagian besar pesanan datang daripada pelanggan institusinya sendiri.

 

“Syarikat insurans dan pengurus aset membentuk majoriti bidaan yang diterima, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap aset dan prestasi YTL Hospitality REIT,” kata CGS MY dalam satu kenyataan hari ini.

 

Permintaan yang kukuh ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap portfolio dan prospek pertumbuhan YTL Hospitality REIT, serta daya tahan sektor hospitaliti dan pelancongan Malaysia ketika aktiviti perjalanan kembali normal.

 

Ketua Negara CGS MY, Alan Inn Wei Loon, berkata pihaknya berbesar hati dapat menyokong YTL Hospitality REIT dalam penempatan persendirian ini dan melihat permintaan menggalakkan daripada pelabur institusi.

 

“Penyertaan dari dana tempatan dan asing, terutamanya syarikat insurans dan pengurus aset, menunjukkan minat berterusan terhadap aset REIT berkualiti tinggi di Malaysia,” katanya.

 

CGS MY menegaskan komitmennya untuk terus menyokong syarikat tempatan dalam mengakses pasaran modal serta memudahkan peluang pelaburan untuk pelabur institusi.

 

Syarikat ini juga menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan berterusan pasaran modal Malaysia, sejajar dengan peranan mereka sebagai penyedia perkhidmatan kewangan terkemuka di negara ini.

 

CGS International Securities Malaysia merupakan penyedia perkhidmatan kewangan yang terkemuka dan telah menerima pelbagai anugerah, dengan pengalaman luas dalam perdagangan ekuiti, pengurusan aset, perbankan pelaburan, pembiayaan patuh syariah, pendapatan tetap dan produk tersusun di lebih 15 negara dan wilayah.

 

Sebagai sebahagian daripada kumpulan China Galaxy Securities, CGS MY dipercayai oleh lebih 18 juta pelanggan di seluruh dunia dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan pasaran modal serantau. - DagangNews.com