Cepatwawasan jual 40% saham loji biomassa di Sandakan berharga RM31.61 juta kepada Timah Resources | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cepatwawasan jual 40% saham loji biomassa di Sandakan berharga RM31.61 juta kepada Timah Resources

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Mac – Cepatwawasan Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Cash Nexus (M) Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian untuk menjual 40 peratus saham Cash Horse (M) Sdn Bhd.

 

Cash Horse merupakan syarikat yang mengendalikan loji kuasa biomassa bersaiz 12 megawatt di Sandakan, Sabah. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cepatwawasan berkata saham itu dijual kepada Timah Resources Ltd, anak syarikat Cash Nexus yang disenaraikan di Bursa Saham Australia, dengan harga RM31.61 juta.

 

“Penjualan ini adalah untuk menonjolkan nilai aset tenaga boleh diperbaharui yang dimiliki syarikat dan memberi akses kepada aliran tunai yang lebih mudah melalui perdagangan saham Timah. 

 

“Syarikat masih mengekalkan majoriti pegangan dalam projek tenaga boleh diperbaharui tersebut,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Kos asal pelaburan dalam saham yang dijual adalah sebanyak RM23.5 juta dibuat pada tahun 2009 dan 2024. Pada 31 Disember 2024, Cash Horse melaporkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.33 juta dan aset bersih bernilai RM77.41 juta. 

 

Dengan penjualan ini, Cepatwawasan dijangka memperoleh keuntungan kasar kira-kira RM650,000 iaitu perbezaan antara harga jualan dan 40 peratus daripada aset bersih syarikat itu.

 

Cepatwawasan menyatakan pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk mengurangkan risiko turun naik pasaran minyak sawit. - DagangNews.com