KUALA LUMPUR 15 April – Firma pelaburan Malaysia, Censuria Capital mengumumkan penyertaannya dalam tawaran awam permulaan (IPO) syarikat pelancongan Golden Destinations Group Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 16 April 2026.
Golden Destinations yang menetapkan harga IPO pada 45 sen sesaham dijangka meraih penilaian pasaran sekitar RM450 juta sebaik disenaraikan, menjadikannya antara penyenaraian baharu dalam sektor pelancongan tempatan.
Selain penyertaan dalam IPO tersebut, Censuria Capital turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Golden Destinations bagi membangunkan program korporat premium melibatkan syarikat-syarikat dari China yang berkunjung ke Malaysia.
Kerjasama itu bertujuan memperkukuh hubungan perniagaan antara Malaysia dan China, di samping mewujudkan peluang komersial rentas sempadan dalam sektor pelancongan korporat dan insentif.
Menurut Censuria Capital, penglibatan mereka bukan sekadar bersifat pelaburan kewangan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan strategi penciptaan nilai melalui kerjasama jangka panjang dalam sektor pelancongan premium.
Sementara itu, pihak Golden Destinations menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai langkah penting dalam memperluaskan perniagaan outbound syarikat, khususnya dengan menukar kumpulan korporat inbound dari China kepada pelanggan perjalanan premium ke destinasi lain.
Syarikat berkenaan merupakan pengendali pelancongan outbound yang menumpukan kepada penyusunan pakej perjalanan di bawah jenama Golden Destinations (GD), dengan operasi berasaskan model perniagaan-ke-perniagaan (B2B) melalui rangkaian ejen pelancongan di seluruh negara.
Aktiviti utama Golden Destinations merangkumi penyusunan produk pelancongan, pembangunan itinerari serta penyelarasan perkhidmatan perjalanan bagi memenuhi permintaan pelancong yang semakin berubah.
Kedua-dua pihak menjangkakan kerjasama ini akan membuka laluan komersial baharu serta meningkatkan daya saing Golden Destinations selepas penyenaraian di Bursa Malaysia, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan serantau. - DagangNews.com








