Censuria Capital peroleh pegangan strategik dalam Perak Transit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Censuria Capital peroleh pegangan strategik dalam Perak Transit

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 28 Okt - Firma ekuiti swasta Censuria Capital yang diterajui Pengerusinya, Datuk Marco Yap memperoleh pegangan strategik dalam Perak Transit Bhd, susulan pelaburan terdahulunya dalam NCT Alliance Bhd.

 

Dalam satu kenyataan, Censuria memaklumkan langkah itu mencerminkan fokus berterusan syarikat terhadap sektor yang mempunyai nilai infrastruktur dan sosioekonomi jangka panjang.

 

Yap berkata, meskipun harga saham Perak Transit baru-baru ini mengalami turun naik yang dipacu pasaran, asas kukuh dan ketahanan operasi syarikat tersebut terus memperkukuh keyakinan Censuria terhadap pelaburan itu.

 

 

Marco Yap
                  Datuk Marco Yap

 


Beliau menambah, kerjasama erat Perak Transit dengan kerajaan negeri Perak meletakkannya pada kedudukan strategik untuk turut menikmati manfaat serta menyumbang kepada pembangunan pengangkutan awam dan infrastruktur negeri.

 

Censuria kini sedang berunding dengan syarikat itu mengenai inisiatif pasaran modal, termasuk program pembelian semula saham, bagi meningkatkan nilai kepada pemegang saham serta memperkukuh keyakinan pelabur.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perak Transit, Datuk Cheong Peak Sooi mengalu-alukan Censuria sebagai pemegang saham strategik, sambil menegaskan kerjasama itu akan meningkatkan minat pelaburan serantau, mengukuhkan profil pasaran modal syarikat serta menyokong pertumbuhan dalam mobiliti awam dan infrastruktur.

 

Beliau turut menjelaskan, perjanjian 15 tahun kumpulan itu untuk menguruskan terminal bas di Perlis membuktikan model perniagaan mereka yang berskala dan ringan aset (asset-light).

 

Kedua-dua pihak yakin bahawa kerjasama ini akan membuka peluang pertumbuhan baharu, menyokong peluasan di peringkat nasional serta memajukan ekosistem pengangkutan awam dan infrastruktur negara. - DagangNews.com