KUALA LUMPUR 25 Mei – Syarikat teknologi tempatan, Censof Holdings Berhad terus memperkukuh kedudukan dalam sektor digital kerajaan apabila anak syarikatnya memperoleh dua kontrak daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bernilai keseluruhan RM19.9 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikatnya, Century Software (Malaysia) Sdn Bhd, bagi pelaksanaan kerja-kerja naik taraf sistem, pembangunan aplikasi, pembaharuan lesen perisian serta perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal.
“Kontrak pertama bernilai RM8.7 juta melibatkan pembangunan dan penambahbaikan modul aplikasi, pembaharuan lesen perisian, serta perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan bagi sistem HIDEF (Hasil International Data Exchange Facility).
“Sistem HIDEF berfungsi sebagai platform pertukaran data dan maklumat percukaian yang menyokong operasi digital LHDN dalam menguruskan data penting secara lebih efisien.
“Kontrak ini bermula dari 1 Jun 2026 hingga 30 Jun 2029, memberikan tempoh pelaksanaan selama lebih tiga tahun kepada syarikat,” katanya dalam makluman tersebut.
Kontrak kedua pula bernilai RM11.2 juta, melibatkan kerja-kerja naik taraf Sistem Bersepadu Kewangan Hasil (HFIS).
Censof berkata skop kerja bagi kontrak ini termasuk penambahbaikan sistem, peningkatan fungsi aplikasi serta perkhidmatan sokongan bagi memperkukuh kecekapan sistem pengurusan kewangan LHDN.
“Tempoh kontrak ini adalah dari 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2029, selari dengan usaha berterusan LHDN memperkukuh sistem kewangan digitalnya.
“Kedua-dua kontrak ini mengukuhkan kedudukan Censof sebagai rakan teknologi dipercayai sektor awam Malaysia, khususnya dalam bidang sistem pengurusan kewangan, pembangunan aplikasi, penyelenggaraan sistem serta infrastruktur digital kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Ameer Shaik Mydin berkata penganugerahan ini mencerminkan keyakinan berterusan LHDN terhadap keupayaan Censof dalam menyediakan penyelesaian digital yang kritikal dan boleh dipercayai.
Beliau berkata LHDN merupakan antara institusi penting dalam agenda transformasi digital negara dan Censof berbangga untuk terus memainkan peranan dalam proses pemodenan sistem agensi tersebut.
Bahagian Penyelesaian Pengurusan Kewangan di bawah Censof yang diterajui Century Software mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam membangunkan sistem kewangan untuk sektor kerajaan.
Bahagian itu menyediakan pelbagai perkhidmatan merangkumi perancangan sumber kerajaan, sistem kewangan, pelaksanaan sistem, penyelenggaraan, sokongan teknikal serta pelbagai solusi digital lain untuk agensi kerajaan di Malaysia.
Secara keseluruhan, kontrak baharu ini dijangka terus memperkukuh aliran pendapatan jangka panjang Censof serta mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai penyedia utama penyelesaian teknologi kewangan sektor awam di rantau Asia Pasifik. - DagangNews.com








