CelcomDigi, Terengganu Inc bekerjasama tingkatkan transformasi digital, AI negeri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CelcomDigi, Terengganu Inc bekerjasama tingkatkan transformasi digital, AI negeri

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt – CelcomDigi Bhd menandatangani Memorandum Kesefahaman (MoU) dengan Terengganu Incorporated Sdn Bhd bagi memacu agenda transformasi digital dan integrasi kecerdasan buatan (AI) untuk anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu.

 

Kerjasama strategik itu merupakan hasil daripada beberapa siri bengkel bersama yang dijalankan kedua-dua pihak bagi mengenal pasti peluang utama dalam mempercepatkan transformasi digital negeri.

 

Menerusi MoU tersebut, Terengganu Inc akan memanfaatkan kepakaran CelcomDigi dalam bidang digital dan AI bagi menyokong pelaksanaan pelan transformasi menyeluruh di peringkat kumpulan. 

 

CelcomDigi turut akan membangunkan Kerangka Kerja Strategik AI (AI Strategic Framework) bagi memperkukuh lima aspek utama iaitu kesalinghubungan, keselamatan siber, infrastruktur awan, Internet Benda (IoT) dan kesiapsiagaan data.

 

Kerangka kerja itu akan menjadi pelan induk strategik untuk memodenkan operasi, meningkatkan kecekapan serta memperkukuh keupayaan digital kumpulan sejajar dengan aspirasi negeri Terengganu ke arah ekonomi berteraskan teknologi dan mampan.

 

Majlis pemeteraian disaksikan oleh Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham bersama barisan Exco Kerajaan Negeri.

 

Ketua Pegawai Perusahaan Perniagaan CelcomDigi, Ts. Afizulazha Abdullah berkata, kerjasama tersebut mencerminkan keyakinan transformasi digital yang perlu dilaksanakan secara strategik dan inklusif.

 

“Dengan membangunkan kerangka AI yang disesuaikan dengan keperluan operasi sebenar, kami membantu Terengganu Inc membina asas digital yang mampan untuk menjana nilai jangka panjang.

 

“Infrastruktur lebih pintar, tadbir urus lebih mantap serta kepimpinan berasaskan data akan membolehkan penyampaian khidmat dan peluang yang lebih baik kepada rakyat Terengganu.

 

“Kami berbangga dapat menyokong usaha Terengganu ke arah masa depan digital yang lebih dinamik dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, kolaborasi itu adalah langkah penting dalam usaha menyelaraskan ekosistem perniagaan kumpulan dengan agenda digital negeri.

 

“Ketika Terengganu mara ke arah ekonomi berdaya tahan dan progresif, transformasi digital menjadi pemacu utama perjalanan tersebut. 

 

“Kerjasama dengan CelcomDigi akan membantu kami menyatukan data, teknologi dan kepakaran manusia untuk membina negeri yang lebih pintar dan berhubung,” katanya.

 

Menurutnya, inisiatif itu juga akan membuka peluang baharu untuk memperkukuh industri utama negeri, mempertingkat keberkesanan operasi serta memajukan perkhidmatan awam melalui teknologi yang menyokong daya saing jangka panjang Terengganu.

 

CelcomDigi merupakan pengendali rangkaian mudah alih terbesar di Malaysia dengan lebih 20.4 juta pengguna. - DagangNews.com