CelcomDigi lancar Bengkel MY5G SME sasar 1,500 usahawan seluruh negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CelcomDigi lancar Bengkel MY5G SME sasar 1,500 usahawan seluruh negara

CelcomDigi bantu PKS manfaat digital dan 5G dengan program Jelajah MY5G SME di Kuala Terengganu baru-baru ini
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai – CelcomDigi Berhad telah memulakan program Bengkel Digital MY5G SME di seluruh negara sebagai inisiatif memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pengetahuan serta kemahiran praktikal bagi mendigitalkan operasi perniagaan dengan lebih pantas dan mudah.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Enterprise CelcomDigi, Afizulazha Abdullah berkata, memasuki tahun ketiga penganjurannya, edisi 2025 kali ini menggabungkan bengkel amali serta libat urus fizikal di lapangan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan. 

 

"Bermula di Kuala Terengganu, program ini akan diteruskan di bandar utama termasuk Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching dengan sasaran untuk menjangkau 1,500 peserta menjelang akhir tahun.

 

"Kami reka program ini untuk memberi inspirasi kepada PKS melalui kisah kejayaan sebenar disertai alat bantu praktikal dan ruang untuk saling berhubung serta bekerjasama. Digitalisasi bukan lagi pilihan tetapi kunci kepada pertumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Program tersebut mendapat sokongan daripada rangkaian rakan strategik termasuk Bank Simpanan Nasional, Commerze Capital, Funding Societies Malaysia, Hannan Medispa, MATRADE, MIDF, SME Corp. Malaysia, TERAJU dan TikTok Shop.

 

Antara ciri baharu diperkenalkan dalam bengkel tahun ini termasuk sesi padanan perniagaan untuk menjalin kerjasama antara usahawan, penstriman langsung TikTok Shop yang memberi latihan amali untuk menghasilkan kandungan secara langsung serta Arena Usahawan yang menyediakan akses kepada dana, geran dan sokongan ekosistem.

 

Tambahnya, program turut diperluas dengan penganjuran Jelajah 5G SME yang membawa pasukan CelcomDigi turun padang ke  lokasi perniagaan di Terengganu seperti Pasar Payang dan Jalan Kampung Cina untuk memahami cabaran sebenar usahawan serta peluang yang boleh dimanfaatkan melalui digitalisasi.

 

"Pendekatan program ini dibina hasil maklum balas di lapangan serta sesi bersama usahawan.

 

"CelcomDigi akan menganjurkan persidangan perniagaan 5G berskala besar serta pameran teknologi di Kuala Lumpur pada bulan-bulan akan datang yang menyasarkan syarikat korporat serta PKS berskala besar. 

 

"Ia turut merangkumi siri bengkel digital untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di beberapa negeri dalam usaha berterusan menyokong mereka ke arah pendigitalan dan penggunaan teknologi 5G," katanya. - DagangNews.com