Catenary Capital, Rivertree STF Synergies bangunkan 4 projek kuarters pekerja bernilai RM600 juta di Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Catenary Capital, Rivertree STF Synergies bangunkan 4 projek kuarters pekerja bernilai RM600 juta di Selangor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Mac – Catenary Capital Sdn Bhd menandatangani perjanjian induk (HoA) dengan Rivertree STF Synergies Berhad (RSSB) dan Q Centre Management Sdn Bhd (QCM) bagi pembangunan sehingga empat projek kuaters pekerja berpusat (CLQ) di Lembah Klang dengan nilai keseluruhan RM600 juta.

 

Projek berkenaan bakal menyediakan kapasiti keseluruhan sebanyak 28,800 katil, sekali gus memperkukuh jumlah penginapan pekerja yang mematuhi piawaian di kawasan industri utama Selangor.

 

Projek pertama, dikenali sebagai Q Centre @ Teratai di Meru, Klang akan menyediakan 9,000 katil dengan nilai pembangunan sekitar RM171 juta. Baki tiga projek lain yang dianggarkan bernilai RM429 juta pula memiliki tambahan 19,800 katil, tertakluk kepada lokasi tapak dan perjanjian muktamad.

 

Perjanjian HoA itu merupakan pelaburan sulung Catenary Capital sejak penubuhannya dan menandakan kemasukan rasmi syarikat tersebut ke dalam segmen CLQ di Malaysia.

 

Catenary Capital adalah pengurus dana yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan merupakan salah satu pengurus dana di bawah inisiatif Dana Pemacu Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

 

Projek-projek berkenaan akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Asetra Sdn Bhd.

 

Rakan pengasas Catenary Capital, Hizzan Hamid berkata, transaksi itu sejajar dengan strategi firma untuk menyalurkan modal institusi ke dalam segmen hartanah yang berdepan kekurangan bekalan secara struktur.

 

Menurut beliau, penguatkuasaan lebih aktif terhadap Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) meningkatkan keperluan majikan untuk menyediakan penginapan pekerja yang mematuhi piawaian ditetapkan.

 

“Selangor kekal sebagai negeri perindustrian terbesar negara dan koridor industri Lembah Klang menempatkan sebahagian besar tenaga kerja asing berdaftar. 

 

“Masih terdapat jurang bagi kemudahan penginapan pekerja yang diurus secara profesional dan patuh peraturan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif RSSB, Datuk Simon David Leong berkata, mandat berkenaan menjadi pencapaian penting bagi kumpulan itu dalam memperluaskan peranan sebagai pemaju infrastruktur CLQ.

 

Beliau berkata, RSSB akan bertindak sebagai pemaju yang bertanggungjawab terhadap skop penuh reka bentuk dan pembinaan bagi kemudahan dicadangkan, sekali gus mengukuhkan keupayaan pelaksanaan dan penyampaian projek syarikat.

 

Nilai pembangunan RM600 juta bagi keempat-empat projek tersebut dijangka memberikan keterlihatan pendapatan kepada RSSB untuk tempoh tiga tahun akan datang.

 

QCM pula akan mengurus operasi kemudahan CLQ selepas siap dan menyasarkan untuk muncul sebagai antara pengendali CLQ terbesar di Selangor sejajar pelan pengembangan jangka panjangnya. - DagangNews.com