KUALA LUMPUR 14 Feb — Careplus Group Berhad berkata bahawa anak syarikatnya yang dimiliki 51 peratus, NexV Manufacturing Sdn Bhd, menghadapi tuntutan mahkamah berhubung isu pertikaian mengenai urus niaga pembelian saham.
Menurut makluman yang difailkan kepada Bursa Malaysia, tindakan undang-undang tersebut difailkan oleh Teo Yun Hock di Mahkamah Tinggi dengan turut menamakan NexV antara 19 defendan termasuk beberapa individu lain.
Turut dikenakan saman itu ialah AutoHome Motor Sdn Bhd dan Go Auto Sales Sdn Bhd, serta tokoh perniagaan, Sheikh Mohamad Azli Sheikh Mohamad Nasimuddin Kamal dan Sheikh Mohamad Azrul Sheikh Mohamad Nasimuddin Kamal.
Careplus menyatakan, Yun Hock mendakwa bahawa Go Auto Sales sebagai telah gagal untuk melaksanakan urusan pembayaran baki harga pembelian sebanyak RM4.1 juta untuk pemilikan sahamnya dalam AutoHome Motor.
Plaintif seterusnya menuduh yang dua adik-beradik iaitu Sheikh Mohamad Azli dan Sheikh Mohamad Azrul sebagai telah melakukan kesalahan berbentuk pernyataan palsu serta berkonspirasi untuk membuat penipuan.
Careplus namun menyifatkan segala tuntutan sivil berkenaan sebagai 'menyusahkan dan tidak berasas' malahan menegaskan bahawa pihaknya berhasrat untuk mempertahankan diri daripada tindakan saman tersebut.
Ia seterusnya menjelaskan bahawa pihak lembaga pengarah akan segera pula melantik barisan peguam cara untuk memohon tindakan pembatalan mahkamah daripada meneruskan prosiding kes berkenaan.
Syarikat tersebut pada masa yang sama turut memberikan jaminan bahawa proses litigasi berkenaan tidak akan mengakibatkan sebarang kesan material kepada kedudukan kewangan atau operasinya terjejas.
Saham Careplus turun 0.5 sen atau 2% untuk ditutup pada 24.5 sen ketika sesi penutup bursa petang semalam, dengan nilai syarikat tersebut adalah RM183.24 juta. - DagangNews.com








